SELAMAT BERSARA EN. RAZAK SIAMIN DAN EN. ISHAR MD ZAIN

PSB Online – Baru-baru ini Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah kehilangan dua lagi permata bernilai yang menjadi tulang belakang PSB selama ini. Mereka adalah En. Razak Siamin, Timbalan Ketua Pustakawan dan En. Ishar Md Zain, Pembantu Pustakawan Kanan dan telah meninggalkan PSB kerana bersara.

En. Razak Siamin yang menyertai PSB pada 12 Jun 1990 dan akan bersara wajib pada 22 April 2022 ini telah berkhidmat bersama PSB selama 32 tahun. Beliau pernah mencurahkan kepakaran di Bahagian Pemerosesan Teknik, Rujukan dan Perkhidmatan Pelanggan, Unit Kualiti & Latihan, Koleksi Khas dan Media, Sirkulasi dan Perkhidmatan Pengguna dan juga di Bahagian Pentadbiran. PSB amat terasa kehilangan seorang insan yang sangat berwibawa kerana beliau merupakan seorang yang amat arif mengenai pengurusan kualiti dan juga risiko di PSB. Sejak dari awal beliau adalah antara orang penting yang terlibat dalam perolehan sijil MS ISO 9002:1994 pada tahun 2000 sehingga PSB terus cemerlang dalam mengekalkan amalan pengurusan kualiti yang terbaik sepanjang masa.

Apabila ditanya mengenai harapan beliau untuk PSB, beliau berkata “Semoga PSB akan terus kekal sebagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) cemerlang dan relevan di UUM terutama bagi menghadapi cabaran baharu yang sangat memerlukan perubahan terutama dari aspek teknologi, tatacara kerja dan paradigma”.

Seorang lagi permata PSB yang hilang adalah En. Ishar Md Zain. Beliau mula berkhidmat di PSB pada 10 April 2000 dan bersara pada 1 April 2022. Selama 22 tahun bersama PSB beliau pernah ditugaskan di Bahagian Koleksi Khas dan Media, Perpustakaan Pusat Islam, Sirkulasi dan Perkhidmatan Pengguna, Arkib Universiti dan terkini adalah di Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah.

Beliau merupakan seorang yang ringan tulang, senang bekerjasama dan sedia untuk belajar sesuatu yang baharu selain arif tentang fotografi dan videografi yang berkualiti dari segi sudut tangkapan dan juga pergerakan. Beliau juga mempunyai bakat terpendam dan merupakan seorang yang sangat kreatif serta mempunyai kebolehan menjahit. Sebelum bersara, beliau berjaya menyumbang kepada penghasilan sebuah projek inovasi 5s iaitu ‘Bean Bag Cozy Art’ dengan hanya menggunakan  bahan kitar semula seperti kertas rincihan dan kain langsir terpakai sahaja.

PSB amat beruntung kerana pernah memiliki staf yang berkemahiran seperti mereka. Namun, setiap pertemuan pasti adanya perpisahan dan walau apa pun bidang yang diceburi kelak dan di mana sahaja mereka berada kini, PSB sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka dan semoga sentiasa berjaya dalam setiap urusan. Semoga berjumpa lagi!

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Noraini Alias