PSB Online – Seperti kebiasaannya, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) sering kali menjadi institusi pilihan utama para pelajar untuk menjalani latihan industri sebagai salah satu syarat lulus pengajian mereka.
Kali ini, PSB telah menerima 4 orang pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Mereka semua dijadualkan bakal menjalani latihan industri bersama PSB sehingga Januari dan Februari 2022. Sebagai persediaan, mereka telah diwajibkan untuk mengikuti satu sesi orientasi bersama semua Ketua Bahagian di PSB secara atas talian melalui aplikasi Cisco Webex. Orientasi ini telah bermula pada 7 sehingga 9 September 2021 dan ianya telah dianjurkan oleh Unit Latihan dan Kualiti.
Sesi pertama orientasi ini adalah pada 7 September dan telah melibatkan Ketua Pustakawan, Timbalan ketua Pustakawan, Bahagian Khidmat Pengurusan dan Bahagian Perkhidmatan Pengguna. Keesokkan harinya pula adalah melibatkan Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah, Bahagian Sumber Ilmu dan Bahagian Sistem Maklumat. Manakala hari terakhir adalah sesi orientasi mereka bersama Bahagian Arkib Universiti dan juga Bahagian Muzium Pengurusan UUM.
Antara objektif utama sesi orientasi ini adalah sebagai sesi pengenalan kepada pengurusan dan fungsi utama di PSB. Ksemua pelajar ini telah diberi pendedahan ringkas mengenai apa yang dijalankan di setiap unit-unit yang ada di sini. PSB mempunyai 7 Bahagian utama dan meliputi 31 unit. Selain itu juga kesemua pelajar latihan industri dari UiTM ini juga turut diberi pendedahan mengenai projek yang perlu mereka laksanakan sepanjang tempoh ini.
Pelajar-pelajar ini terdiri daripada Puteri Izzati Asrulsani Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan dari UiTM Kampus Rembau dan berasal dari Pulau Pinang. Nurul Sahira Mohd Razi dari UiTM Kampus Rembau dan berasal dari Sungai Petani Kedah. Nur Farisyah Mohammad Bakri dari UiTM Kampus Puncak Perdana dan berasal dari Langkawi Kedah. Manakala pelajar keempat adalah Nur ‘Izzati Mohd Azman, Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Pusat Sumber dari UiTM Kampus Puncak Perdana dan berasal dari Baling Kedah.
Semoga dengan pengenalan mengenai pengurusan dan fungsi di PSB ini, dapat memberi pendedahan yang positif kepada semua pelajar ini dan diharap mereka akan lebih bersemangat untuk memulakan sesi latihan industri mereka di PSB kelak.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Unit Latihan dan Kualiti