SERUAN MEMBACA 10 MINIT DISAHUT PENUH SEMANGAT OLEH WARGA PSB

PSB ONLINE :Pada 23 April 2025, Perpustakaan Sultanah Bahiyah telah menyahut seruan Perpustakaan Negara Malaysia dengan menyertai program “Jom Membaca 10 Minit”, yang berlangsung serentak di seluruh negara bermula jam 11.00 pagi hingga 11.10 pagi. Program ini melibatkan penyertaan aktif daripada warga Perpustakaan Sultanah Bahiyah sebagai usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat kampus.

Program ini diadakan bersempena Hari Buku Sedunia dan Hari Hak Cipta Sedunia yang disambut pada tanggal 23 April setiap tahun. Hari Buku dan Hakcipta Sedunia disambut pada 23 April setiap tahun untuk mengiktiraf sumbangan penting buku dan penulis dalam pembangunan ilmu pengetahuan, budaya, dan pemahaman antara masyarakat. Sambutan ini bertujuan untuk menggalakkan budaya membaca, terutamanya dalam kalangan generasi muda, serta menghargai hakcipta yang melindungi karya penulis daripada penyalahgunaan. Pada tahun 1995, UNESCO mengisytiharkan 23 April sebagai Hari Buku dan Hakcipta Sedunia dalam Persidangan Umum mereka di Paris, sebagai usaha untuk menjadikan budaya membaca dan menulis lebih dihargai di seluruh dunia.

Selain itu, PSB turut menganjurkan program Capture & Connect: Capture the Moment, Share the Magic bagi menggalakkan penyertaan warga PSB dalam kempen Jom Baca 10 Minit. Melalui program ini, peserta berpeluang memenangi cenderamata menarik dengan menyertakan gambar atau video pendek berdurasi maksimum dua minit yang memaparkan petikan kata-kata menarik daripada buku yang sedang atau pernah dibaca. Petikan tersebut boleh merangkumi pelbagai tema seperti motivasi, inspirasi, penyembuhan, dakwah, humor, atau apa-apa sahaja yang memberi kesan dan makna.Selain itu, peserta juga boleh merakam video atau mengambil gambar aktiviti bertemakan Jom Baca 10 Minit yang paling kreatif sama ada secara individu mahupun berkumpulan. Inisiatif ini bukan sahaja menyuntik semangat membaca dalam kalangan warga PSB, malah turut menawarkan insentif hadiah sebagai galakan untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit sehari dengan bahan bacaan yang bermanfaat.

Dalam tempoh 10 minit yang diperuntukkan, bahan bacaan ringan seperti novel menjadi pilihan utama para staf PSB sebagai medium untuk melepaskan sedikit tekanan daripada kesibukan tugasan harian. Aktiviti ini tidak hanya memberi ruang untuk merehatkan minda, tetapi juga menyegarkan semula semangat dan fokus mereka, sekaligus menyumbang kepada peningkatan produktiviti di tempat kerja.

Program berimpak tinggi ini diharapkan dapat diteruskan secara berterusan dengan penglibatan yang lebih menyeluruh daripada seluruh warga Universiti. Usaha ini bukan sahaja memupuk minat membaca, malah berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan amalan budaya membaca sebagai asas pembentukan masyarakat yang berilmu, progresif dan berdaya saing.

Disediakan oleh : Nurul Syafika Binti Che Zin
Pelajar latihan industri
Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail