SESI INTERAKSI PENGERUSI LPU BERSAMA STAF PSB

Satu mesyuarat khas bersama Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Sudin Haron iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) telah diadakan pada 2 Jun 2020, bertempat di Bilik Mesyuarat Paras 1, Bangunan Utama Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Mesyuarat yang bermula pada jam 11.00 pagi ini telah melibatkan Ketua Pustakawan, Timbalan Ketua Pustakawan beserta semua Ketua Bahagian PSB. Intipati utama mesyuarat ini adalah mengenai perancangan dan tindakan perpustakaan pasca Covid-19 yang sedang melanda Negara Malaysia ketika ini ataupun boleh dikatakan fasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) .

Menurut Yang Berbahagia Dato’ Professor Dr. Sudin Haron, Perpustakaan harus bersedia untuk merubah fungsi konvensional sedia ada sebagai gedung ilmu kepada sebuah pusat yang menjana ilmu pengetahuan ke arah keberuntungan bersama bagi tujuan kelangsungan hidup serta kerelevanan di masa akan datang. “We have to focus on generation income leads to self sufficient body or institution to sustain within 5 to 10 years period” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, landskap halatuju, cara bekerja dan cara berfikir semua warga PSB haruslah dibuat satu transformasi di mana pada masa akan datang segala penyampaian perkhidmatan dan servis adalah berdasarkan nilai-nilai komersial. Beliau juga turut menyatakan contoh pelan atau aktiviti yang boleh dilakukan oleh PSB untuk mencapai tujuan tersebut antaranya adalah dari segi penjimatan tenaga elektrik dengan menggunakan bumbung bertenaga solar, staf yang mempunyai pelbagai kemahiran dan upaya (multitasking), menjemput pensyarah tamu untuk program bicara buku-buku baharu di PSB menerusi platform atas talian seperti aplikasi Webex dan lain-lain. Selain itu juga, pihak Perpustakaan juga boleh merancang untuk membuat “outsourcing” beberapa perkhidmatan atau operasinya bagi mengurangkan perbelanjaan mengurus dan penyelengaraan tersebut.

Di akhir mesyuarat ini, Yang Berbahagia Dato’ Professor Dr. Sudin Haron juga berharap agar PSB dapat mempelbagaikan penganjuran program yang mampu menambahkan rasa cinta para pelajar dan staf terhadap universiti bukan sahaja sepanjang tempoh pengajian atau perkhidmatan mereka bersama Universiti Utara Malaysia (UUM), malah di sepanjang hidup mereka agar sentiasa menyokong PSB dan UUM walaupun daripada jauh.

Semoga segala input dan saranan yang telah diutarakan dapat direalisasikan dengan jayanya kelak. Mesyuarat ditangguh sekitar jam 12.30 p.m.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Abdul Hadi Md Taib