SESI PEMBENTANGAN LATIHAN INDUSTRI DAN TAKLIMAT HALATUJU PSB 2030

PSB Online – Satu sesi pembentangan latihan industri dan taklimat halatuju Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) 2030 telah diadakan pada 3 Disember 2020 yang lalu bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama PSB.

Seperti kebiasaaan, setiap pelajar yang menjalani latihan industri di PSB dikehendaki untuk membentangkan hasil dapatan projek yang telah diberikan kepada mereka kepada semua pegawai dan staf terlibat. Umumnya, projek-projek yang telah diamanahkan ini adalah bertujuan untuk memperbaiki servis dan perkhidmatan di PSB.

Sesi pembentangan latihan industri ini dimulai dengan saudari Fatimah Az-Zahra Zainud-din dengan tajuk ‘Sistem Pembangunan Bengkel Perpustakaan’. Beliau telah dikawal selia oleh Pn. Fadzillah Hussin, Ketua Unit Pendidikan Pengguna dari Bahagian Perkhidmatan Pengguna. Melalui pembentangan beliau, sistem ini dikatakan boleh mempercepatkan proses permohonan bengkel literasi maklumat  selain mudah diurus dan diatur dengan lebih efisien dan efektif dengan keupayaannya yang membenarkan pengguna membuat permohonan bengkel secara atas talian. Sistem ini juga dapat mengurangkan masa memproses borang secara manual.

Manakala pembentangan individu seterusnya adalah oleh saudari Nur Imanina Najwa Ruslee dengan projek beliau bertajuk ‘Sistem Tempahan Kemudahan PSB Secara Atas Talian’. Projek ini telah diselia oleh Pn. Asmaniza Mansor, Ketua Unit Perkhidmatan Pelanggan dari Bahagian Perkhidmatan Pengguna.  Melalui sistem ini, proses tempahan bilik karel dan bilik perbincangan akan menjadi mudah dan terurus. Ianya mampu membantu staf di Unit Perkhidmatan Pelanggan memberi servis yang lebih berkualiti kepada pengguna kelak.

Akhir sesi pembentangan latihan industri adalah oleh saudara Muhammad Ammar Miqdad Muhamad Supri. Beliau telah berjaya membangunkan sebuah ‘Repositori Pinjaman Antara Perpustakaan (PAP) dan beliau juga adalah dibawah seliaan Pn. Asmaniza Mansor. Repositori ini dapat memberi manfaat kepada pegawai bertanggungjawab dengan ianya dapat memudahkan proses pencarian bahan PAP apabila ianya telah dikumpulkan ke dalam satu platform dan carian semula dapat dilakukan dengan pantas dan mudah.

Usai sesi pembentangan tersebut, Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa telah menyampaikan sebuah taklimat yang bertajuk ‘Halatuju PSB 2030’. Di kesempatan ini beliau berkongsi mengenai peluang-peluang yang boleh diketengahkan untuk kemajuan PSB pada masa akan datang di samping tidak mengabaikan ancaman-ancaman luar yang wujud untuk ditangani dengan baik. Menurut beliau, semua Ketua Bahagian dan Ketua Unit perlu memikirkan dan mengeksploitasi kelebihan masing-masing untuk diketengahkan menjadi sebuah produk dan kekuatan yang berupaya menyokong proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di universiti. PSB perlu memandang serius mengenai komponen-komponen persekitaran pembelajaran yang digemari oleh generasi akan datang. PSB juga dilihat perlu berubah dan menyesuaikan diri dengan perubahan era yang kian mencabar ini. Ketua Pustakawan juga turut berkongsi klip-klip video dan informasi-informasi dari pelbagai sumber untuk menyokong hujahnya.

Menuju ke tahun 2030, sememangnya terlihat masih jauh, namun ianya perlu difikirkan dan dirancang bermula sekarang untuk mengejar kehendak era masa kini dan hadapan. Sesi ini tamat sekitar jam 12.00 tengahari.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib