PSB Online – Ekoran masih di dalam situasi pandemik di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3.0, barisan pengurusan audit memutuskan agar Sesi Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S kali ini diadakan secara atas talian.
Pada 24 Oktober 2021, pasukan juruaudit yang terdiri daripada En. Zor Mohd Nor, Pn. Rosilah Ishak dan Pn. Zainab Mat Rose telah melaksanakan penilaian pematuhan terhadap amalan persekitaran berkualiti QE/5S terhadap Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Sesi penilaian ini dimulai dengan mesyuarat pembukaan yang telah dihadiri oleh Ketua Pustakawan En. Salleh Hudin Mustaffa dan bersama-sama beliau adalah Pengerusi 5S iaitu Pn. Rahimah Ishak dan juga beberapa ahli jawatankuasa 5S yang lain di Bilik Mesyuarat Paras 1, Bangunan Utama PSB bersama panel juri di atas talian.Manakala, beberapa staf atau Ketua Zon yang lain telah bersedia di lokasi masing-masing bagi tujuan audit secara maya melalui pautan aplikasi Cisco Webex dengan menggunakan telefon bimbit.
Ketika sesi penilaian, Ketua Zon yang terlibat telah dikehendaki membuat video secara langsung mengikut tempat dan lokasi yang dipinta oleh Juruaudit. Sambil membuat video secara langsung, mereka juga turut memberi penerangan ringkas mengenai tempat tersebut. Antara lokasi yang dilawati secara virtual adalah ruang makan staf, ruang pejabat, kaunter dan ruang menunggu, bilik mesyuarat, Sudut Induk 5S dan beberapa lokasi lain lagi.
Sesi ini tamat sekitar jam 11.00 pagi dan semoga PSB akan terus kekal unggul memartabatkan amalan persekitaran berkualiti secara berterusan.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Siti Suriyani Muhamad