SIRI 4 SYARAHAN SANTUN PROFESOR : IMPLIKASI GAYA KOMUNIKASI OLEH PROF. DR. CHE SU MUSTAFFA

PSB Online – 23 Mei 2023 bersamaan Selasa yang lalu telah diadakan Siri 4 Syarahan  Santun Professor.

Siri kali ini menampilkan Prof. Dr. Che Su Mustaffa sebagai pembicara topik “Implikasi Gaya Komunikasi”. Ianya telah bersiaran secara langsung menerusi saluran Facebook Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan juga secara bersemuka di Auditorium 1, PSB.

Sepanjang program, pelbagai info menarik mengenai komunikasi seperti gaya komunikasi, jenis-jenis komunikasi dan lain-lain telah dikongsi oleh Prof. Dr. Che Su untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita bagi memperbaiki mutu dan cara kita berkomunikasi. Selain itu, interaksi bersama penonton maya juga turut diadakan menerusi soal jawab yang diajukan oleh penonton di ruangan komen ketika program sedang bersiaran langsung.

Menurut Prof. Che Su, komunikasi adalah sebuah proses pertukaran maklumat atau idea, perasaan, pemikiran dari individu kepada individu yang lain. Manakala gaya komunikasi pula adalah cara penyampaian dan gaya bahasa yang baik sama ada secara lisan mahupun bukan lisan dalam situasi tertentu. Tambah beliau lagi, gaya komunikasi yang baik adalah amat penting dan bermanfaat kerana dapat melancarkan proses komunikasi dan mencipta hubungan yang harmonis.

Turut hadir ke sesi syarahan ini adalah peserta dari Perbadanan Perpustakaan Awam  Negeri Perlis dan Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Kedah.

Program ini tamat sekitar jam 11.30 pagi seusai sesi penyampaian cenderamata dan sesi bergambar beramai-ramai.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail