SIRI SYARAHAN 5 SANTUN PROFESOR – SAINS PILIHAN RAYA : PRN 2023

PSB Online – Baru-baru ini telah diadakan program Siri Syarahan 5 Santun Profesor bertajuk Sains Pilihanraya : PRN 2023. Ianya telah diadakan di lokasi yang sama seperti siri terdahulu iaitu di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Syarahan bertajuk “Sains Pilihan Raya : PRN 2023” kali ini telah disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani yang juga merupakan Felo Penyelidik di  Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CETMA), Universiti Utara Malaysia. Beliau adalah seorang yang pakar di dalam bidang politik dan hubungan antarabangsa.

Antara intipati topik syarahan kali ini adalah mengenai politik dan sains. Seperti yang diketahui umum, Pilihan Raya Negeri bakal diadakan tidak lama lagi dan untuk itu, Prof. Dr. Azizuddin telah berkongsi pengetahuan beliau yang luas bersama tetamu mengenai elemen sains di dalam rencah permainan politik masa kini. Tambah beliau, jika umum mempelajari apa itu elemen sains dalam politik, maka ramalan dan jangkaan boleh dibuat. Tambah beliau lagi “Psephology yang bermaksud analisis politik iaitu satu teknik yang berada dalam cabang sains politik yang berkaitan dengan metodologi politik seperti analisis kuantitatif mengenai pilihan raya dan pengundian. Psephology cuba untuk menjelaskan pilihan raya dengan menggunakan kaedah saintifik, data pengundian, tinjauan umum, maklumat dana kempen dan data statistik”.

Selain diadakan secara bersemuka, penonton maya juga boleh menyaksikan secara terus siaran langsung program ini yang juga turut dipaparkan di saluran rasmi Facebook dan Youtube PSB. Turut hadir sebagai tetamu jemputan adalah 14 orang Penghulu-penghulu dari Daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang dan Padang Terap.

Program ini tamat sekitar jam 11.30 pagi seusai sesi soal jawab. Orang-ramai juga berpeluang melihat dan memiliki buku-buku tulisan Prof. Dr. Mohd Azizuddin yang diterbitkan oleh UUMPress di sudut pameran dan jualan berhadapan Auditorium 1, PSB.

 

Disedidakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Asyraf Syed  Ismail