PSB ONLINE – Pada 10 Oktober 2024, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan kerjasama Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Siri Syarahan ke-12 Santun Profesor bertempat di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).. Program ini turut dihadiri oleh wakil Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), wakil Pejabat KKDW Negeri Kedah/Perlis/Pulau Pinang dan wakil Persatuan Usahawan Wanita Bukit Kayu Hitam.
YBrs. Prof. Dr. Azham Bin Hussain, pensyarah Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM menyampaikan syarahan yang bertajuk “Transformasi Digital Di Malaysia: Dari Teknologi Ke Masyarakat”. Syarahan ini bertepatan dengan kepakaran beliau dalam beberapa bidang kejuruteraan perisian, interaksi manusia komputer dan perkomputeran mudah alih.
Intipati syarahan merangkumi transformasi digital Malaysia yang melibatkan penilaian semula kaedah tradisional dan penerimaan teknologi untuk mewujudkan proses, perkhidmatan dan pengalaman yang lebih pintar dan lebih cekap. Kepesatan teknologi memberi impak transformasi digital antaranya dalam meningkatkan daya saing ekonomi, mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Selain itu, syarahan juga membincangkan tentang cabaran transformasi yang melibatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, kekurangan kemahiran digital, kos transformasi digital yang tinggi dan sebagainya. Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang perlu dilalui, tidak dapat dinafikan transformasi juga memberi manfaat kepada masyarakat. Antara manfaat yang diperolehi ialah akses kepada maklumat yang lebih mudah dan cepat, meningkatkan kualiti pendidikan, mempercepatkan urusan harian dan memudahkan kehidupan, meningkatkan peluang ekonomi dan perniagaan serta peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Halatuju digital Malaysia turut menjadi fokus perbincangan Ybrs. Prof. Dr. Azham Bin Hussain. Dengan peningkatan penggunaan 5G, Malaysia perlu meningkatkan kelajuan dan keberkesanan semasa mengakses. Keselamatan siber terutama berkaitan dengan data peribadi, perlu diberi perhatian serius agar masyarakat akan merasa selamat semasa berinteraksi secara digital. Literasi digital perlu dipertingkatkan untuk memastikan rakyat dapat memanfaatkan teknologi dengan berkesan.
Galakan inovasi dan keusahawanan oleh kerajaan dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi Malaysia. Kerjasama serantau dan antarabangsa juga penting dalam mempercepatkan perkembangan digital dan memastikan Malaysia tidak ketinggalan. Inisiatif kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan digital adalah langkah yang positif, kerana ia membolehkan rakyat mengakses maklumat dan perkhidmatan dengan lebih cepat dan mudah. Halatuju ini jelas menunjukkan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju dalam dunia digital. Akhir sekali, masyarakat turut memainkan peranan penting dalam memacu transformasi digital di Malaysia
-Tamat-
Disediakan oleh: Nor Hazira Mat Noh