Seramai 121 orang staf perpustakaan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan perpustakaan telah mengikuti Kursus Pemantapan Pasukan Kerja anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 11 hingga 13 Februari 2014 di Tasoh Lake Resort, Perlis.
Objektif kursus ini diadakan adalah untuk mempertingkatkan motivasi diri dan memantapkan budaya kerja di kalangan staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
Di antara aktiviti yang telah dijalankan adalah Sesi Mengenal Diri, Team building dan Santai. Bagi aktiviti berkumpulan, peserta telah dibimbing oleh 2 orang fasilitator iaitu Encik Kamaludin Chin dan Puan Hazelin Ayoup beserta 2 orang pembantu. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk membentuk semangat berpasukan dan kekeluargaan di kalangan staf. Malah, ia juga dapat meningkatkan daya kreativiti diri dan berkongsi pengalaman serta mengeratkan hubungan silaturrahim sesama staf khusus diantara staf baru dan lama juga pihak pengurusan dan staf sokongan melalui sesi motivasi dan aktiviti riadah.
Selain daripada itu, program dan aktiviti kerohanian juga turut diselitkanseperti Solat Berjemaah, Tazkirah, Qiamullail dan Ceramah. Intipati daripada sesi ini adalah bertujuan memberi ruang dan peluang kepada peserta terutamanya staf perpustakaan bermuhasabah diri dengan mengingati akan tujuan hidup manusia sebagai khalifah dan hamba Allah di muka bumi ini. Selain itu, penekanan terhadap aspek penggunaan masa dalam kehidupan turut diterapkan bagi melahirkan jiwa yang tahu bersyukur di atas nikmat yang telah diperolehi. Ceramah “Muhasabah Diri Sepanjang Masa” ini telah disampaikan oleh YBhg Ustaz Mohd Nizho Abdul Rahman , Pensyarah Kanan dari Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia.
Oleh : Isanuddin Bidin; Gambar : Mohamad Fuzi Ismail