STAF PSB TUNAI TANGGUNGJAWAB SOSIAL TERHADAP ALAM SEKITAR

PSB Online  – Menelusuri kehidupan salah seorang staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) iaitu saudara Abdul Hadi Mat Taib, Pembantu Pustakawan  dari Unit Arkib Media Digital, Bahagian Arkib Universiti adalah sesuatu yang mampu memberi contoh teladan yang baik kepada generasi milennial masa kini. Memanfaatkan cuti hujung minggu dengan aktiviti yang berfaedah, beliau bersama isteri, Puan  Nur Farihah Fadzil berserta dua putera mereka iaitu  Abdul Fattah dan Abdul Fayyadh selalunya akan mengunjungi  Gua Kerbau untuk beriadah mengisi masa mereka sekeluarga dengan sesuatu yang berkualiti.

Memandangkan lokasi Gua Kerbau yang terletak  di kaki Bukit  Kepelu Kampung Kodiang Lama, Kedah dan tidak jauh dari rumah mereka, ini membolehkan mereka sentiasa beriadah sambil membersihkan kawasan tersebut yang kadang kala tercemar dengan sisa-sisa buangan pengunjung yang tidak bertamadun. Gua Kerbau ini adalah merupakan salah satu daripada puluhan gua batu kapur yang terbentuk dalam sebuah bukit  batu kapur berhampiran Pekan Kodiang. Pihak Majlis Perbandaran Kubang Pasu telah menjadikan tempat ini sebagai salah satu tempat tarikan pelancong di negeri Kedah.

Menurut En. Abdul Hadi, selain beriadah, beliau dan keluarga selalu ke Gua Kerbau untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dengan membersihkan sampah sarap yang telah dibuang merata-rata oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab. Tambah beliau, “saya membawa  anak-anak ke sini melakukan aktiviti ini bertujuan untuk mendidik mereka menjaga kebersihan di tempat awam di samping  menyemai sifat cintakan alam sekitar. Bagi kami sebagai ibu bapa, pendidikan bermula dari rumah kerana rumah adalah permulaan, di mana anak-anak belajar dan mempraktikkan apa yang mereka lihat. Saya mengajar mereka bahawa sampah seharusnya dibuang di tempat yang betul iaitu di dalam tong sampah yang telah disediakan”.

Ujar beliau lagi “selalunya kami meluangkan masa di Gua Kerbau seawal jam 8.00  hingga 11.00 pagi. Berbekalkan plastik  sampah dan rubbish pick up stick,  kami berempat mengutip semua sampah sarap  seperti beg plastik makanan, plastik minuman, tin dan kotak minuman, straw plastik , kotak rokok  dan polisterin yang dibuang merata-rata tanpa rasa bersalah. Tumpuan kami adalah membersihkan laluan pejalan kaki yang menuju ke pintu masuk gua. Sampah yang banyak dan  berselerakkan itu telah mencacatkan permandangan dan keindahan tempat ini. Selesai mengutip dan mengumpul semua sampah, saya dan isteri akan menyisih sampah berkenaan  mengikut komposisi bahan  untuk dikitar semula. Semua sampah yang telah diasingkan akan di hantar ke Pusat Pengumpulan Barangan Kitar Semula di Pekan Kodiang. Selain dari mengutip sampah, kadang-kala kami juga  turut menyapu  daun-daun kering yang  gugur menutupi laluan pejalan kaki. Kami suka melakukan semua ini kerana merasa nyaman dan selesa sekiranya tempat ini bersih kerana Gua Kerbau adalah lokasi beriadah yang sesuai dikunjungi oleh semua terutama yang berkeluarga”.

Selain menyemai rasa cinta kepada alam sekitar, En. Abdul Hadi juga membawa anak-anaknya ke lokasi berkenaan untuk tujuan memupuk kesedaran menghargai tempat bersejarah yang terdapat berdekatan dengan  kediaman mereka. Gua Kerbau ini juga dikatakan pernah menjadi lokasi yang penting bagi angkatan perang Kedah sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1804-1843) dahulu. Gua berkenaan telah dijadikan sebagai markas utama angkatan perang Kedah bagi melatih tentera mereka, selain itu ianya juga merupakan sebuah lokasi yang strategik sebagai tempat persembunyian angkatan perang Kedah daripada serangan tentera Siam.

PSB  melahirkan perasaan  bangga  dengan usaha dan komitmen keluarga En. Abdul Hadi dalam menjaga kebersihan Gua Kerbau secara sukarela. Rasa peduli dan  usaha  murni mereka  wajar dijadikan contoh dan teladan kepada semua orang. Sesungguhnya kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi  Mat Taib