PSB Online – Prihatin dan simpati terhadap mangsa banjir akibat kejadian kepala air pada 4 Julai 2022 di kawasan Baling Kedah, Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) mengambil tindakan melancarkan kutipan derma menerusi ‘Tabung Bantuan Bencana Banjir Baling’ bagi mengumpul dana bantuan untuk disalurkan kepada mangsa kejadian berkenaan.
Menerusi Program Khidmat Masyarakat Bantuan Bencana Banjir Baling anjuran BAKAL, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan juga Muzium Pengurusan UUM yang telah diadakan pada 27 Julai 2022 yang lalu, seramai 7 orang sukarelawam telah berkunjung ke Kampung Padang Empang, Kupang untuk menyantuni salah seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mana rumahnya turut terjejas dan mengalami kerosakan akibat bencana banjir kilat pada hari tersebut. Misi khidmat masyarakat ini diketuai oleh Tuan Haji Mohd Fairus Abd Majid, Pengurus Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Turut menyertai program ini ialah Encik Hisomuddin Abdullah, Pengerusi BAKAL PSB di mana beliau telah menyampaikan dana bantuan hasil kutipan Tabung Bantuan Bencana Banjir Baling kepada Cik Siti Nur Anisa Binti Kaharizal, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan semester 4 di rumah datuknya di sini. Menurut Siti Nur Anisa, beliau sangat berterima kasih dan merasa beruntung kerana terpilih untuk menerima sumbangan perabot, peralatan elektrik serta wang tunai dari pihak PSB. Beliau juga merasa terharu kerana sukarelawan PSB sudi mengunjungi dan membantu meringankan masalah mangsa banjir sepertinya. Selain dari menghulur bantuan, para sukarelawan PSB juga turut bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar rumah pelajar berkenaan yang dilihat masih diliputi sampah-sarap.
Selain dari bantuan kepada keluarga adik Siti Nur Anisa, para sukarelawan PSB juga turut turun padang menyantuni beberapa buah keluarga kejiranan yang berdekatan dengan mengagihkan wang tunai dan beberapa barangan keperluan harian.
Semoga usaha kecil ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di Kupang dan mampu memberi sedikit keceriaan kepada kehidupan mereka pasca banjir. Selain itu diharapkan agar usaha murni ini akan dapat diteruskan bagi meringankan beban mereka yang terlibat dan masyarakat sekitar yang terjejas akibat banjir.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Abdul Hadi Mat Taib