TADIKA DZUL IMAN JITRA DIDIK KHALIFA HARGAI ALAM SEKITAR DENGAN AMALAN KITAR SEMULA

PSB Online: Mesra dipanggil ‘Khalifa’, anak-anak di Tadika Dzul Iman kelihatan begitu teruja mengikuti aktiviti kesedaran amalan kitar semula anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) bersama Tadika Dzul Iman Smart Cawangan Jitra dan juga Syarikat E-Idaman Sdn. Bhd. Projek ini telah diadakan pada 28 September 2022 bertempat di Tadika Dzul Iman cawangan Jitra dengan melibatkan seramai 9 orang staf PSB

Menurut ketua projek bersama iaitu Pn. Norma Said dari Bahagian Khidmat Pengurusan dan Pn. Rahimah Ishak dari Bahagian Sumber Ilmu, PSB, projek ini adalah langkah mendokong agenda Sustainable development Goals (SDGs) atau Matlamat Pembangunan Lestari yang telah diperkenalkan di seluruh dunia oleh  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2015. SDGs mempunyai 17 matlamat global yang telah ditetapkan bertujuan untuk mencapai masa depan yang lebih baik dan mampan menjelang tahun 2030.

Oleh yang demikian, melalui projek SDGs di tadika Dzul Iman Smart Cawangan Jitra ini, sasaran projek ini adalah untuk memupuk kesedaran  menjaga kebersihan alam sekitar di kalangan murid-murid tadika yang terlibat iaitu seramai 60 orang. Projek ini juga melibatkan 3 elemen SDGs iaitu Quality Education, Responsible Consumption and Production dan Partnership For Goals. Antara pengisian projek ini adalah satu ceramah oleh wakil Syarikat E-Idaman Sdn. Bhd. iaitu En. Muhammad Syafiq Bin Mohd Zuki dengan tajuk “Kepentingan Menjaga Kebersihan Alam Sekitar”. Melalui ceramah ini murid-murid didedahkan dengan kepentingan amalan kitar semula serta mengenali bahan-bahan yang boleh dikitar semula.

Untuk memantapkan lagi pemahaman mereka, satu aktiviti berkaitan amalan kitar semula iaitu mewarna dan kolaj turut diadakan sebagai pengisian projek. Selain itu juga, murid-murid diarah untuk beratur dan meletakkan bahan-bahan kitar semula ke tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Untuk melihat dan menilai tahap keberkesanan program, aktiviti mewarna dan kolaj ini diadakan secara dua sesi iaitu sebelum dan selepas sesi ceramah dan aktiviti meletakkan bahan-bahan ke dalam tong-tong kitar semula. Keceriaan dan keseronokkan aktiviti ini  juga turut digamatkan dengan kehadiran watak kartun Minnie Mouse dan Bear yang dimainkan oleh dua urusetia dari PSB. Mereka begitu teruja untuk mendekati dan memeluk Minnie dan Bear jika ada kesempatan di sepanjang aktiviti berlangsung.

PSB amat berterima kasih kepada Pn. Farah Noor Akila binti Hashim, Pengetua Tadika Dzul Iman Cawangan Jitra atas kesudian memberi komitmen dan kerjasama menjayakan projek ini. Turut sama hadir menyokong aktiviti ini adalah En. Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan, PSB. Beliau juga turut dijemput dan diberi mandat untuk menyampaikan cenderamata kepada rakan kerjasama yang terlibat iaitu Pengetua Tadika dan juga wakil dari Syarikat E-Idaman Sdn. Bhd tersebut.

Semoga aktiviti ini dapat mendidik generasi akan datang menjadi warga yang cintakan alam sekitar dan bumi untuk diwarisi oleh generasi-generasi seterusnya.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Nur Darina Khairil Anwar