TAHNIAH PASUKAN PSB ATAS KEJAYAAN MEMBAWA PULANG HADIAH SAGUHATI PERTANDINGAN SDG ANTARA PERPUSTAKAAN AKADEMIK

PSB Online – Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Akademik Sesi 2020/2022 (JTPA), Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan satu Pertandingan SDG Perpustakaan Akademik 2022 yang terbuka kepada semua perpustakaan akademik di seluruh Malaysia.

Pertandingan ini merupakan salah satu aktiviti yang dicetuskan selaras dengan kesedaran bahawa perpustakaan boleh memandu masyarakat ke arah pembangunan mampan dan menyokong agenda Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 2030 iaitu Sustainable Development Goals (SDG). Di samping itu, ia juga menggalakkan warga perpustakaan akademik khususnya pustakawan untuk menerap nilai kelestarian dalam bidang kepustakawanan. Pertandingan ini telah diadakan pada  1 hingga 31 Mac 2022 dengan seramai 26 penyertaan.

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) juga turut sama menyertai pertandingan ini. Projek “Pemasangan Sistem Komputer Perpustakaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Changlun” telah dipilih mewakili projek SDG PSB dan berjaya mendapat tempat antara sepuluh finalis terbaik.  Semasa pertandingan ini berlangsung, kesemua peserta dikehendaki menyediakan dan menghantar laporan projek yang  lengkap kepada sekretariat untuk dinilai oleh juri yang dilantik. Kemudian, kesemua sepuluh finalis dari universiti awam dan swasta ini telah berentap dalam peringkat akhir Pertandingan SDG Perpustakaan Akademik Universiti yang diadakan pada 1 Jun 2022. Pembentangan projek SDG universiti akademik ini telah diadakan secara maya melalui platform Webex yang dihos oleh Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pemenang pertandingan telah diumum semasa berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan SDG Perpustakaan Akademik 2022 pada 8 Jun 2022 secara atas talian melalui aplikasi Zoom. Tahniah diucapkan kepada pasukan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana telah dinobatkan sebagai johan pertandingan dengan projek Terangi Hatiku: Bahan Braille Special Learning Tool’s Kit”. Walaupun, pasukan PSB tidak berjaya merebut tempat teratas pertandingan, namun usaha dan inisiatif menghasilkan projek yang bersandarkan sasaran SDG adalah cukup bermanfaat dan amat terpuji. Syabas dan tahniah kerana telah terpilih mewakili PSB dan seterusnya terpilih menjadi antara sepuluh finalis terbaik dan membawa pulang hadiah saguhati berjumlah RM200, sijil penyertaan dan sijil penghargaan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta dan semoga projek yang telah dihasilkan ini menjadi perintis kepada projek SDG yang lebih meluas di masa akan datang.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Noraini Alias