TERIMA KASIH DAN SELAMAT BERSARA ENCIK MOHAMAD NOOR ISMAIL

PSB Online – 22 Mac 2022 merupakan hari terakhir buat Encik Mohamad Noor Ismail atau mesra dikenali sebagai ‘Chip’ bertugas sebagai seorang Pembantu Pustakawan Kanan (S26) di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Beliau merupakan staf senior di PSB  memilih untuk bersara pilihan setelah 35 tahun bertugas sebagai pejawat awam di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Encik Mohamad Noor memulakan kerjaya sebagai seorang  Penyemak Perpustakaan (D11) di Perpustakaan Kampus Sementara UUM di Bandar Darulaman pada tahun 1986. Pada tahun itu, beliau merupakan ‘batch’  kedua ambilan kakitangan Perpustakaan dan ditempatkan di Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca. Setelah bertugas selama 4 tahun, Kampus UUM telah berpindah ke kampus induk di Sintok. Pada tahun 1990, beliau merupakan salah seorang individu yang terlibat secara langsung ketika proses permindahan semua bahan dan peralatan perpustakaan dari Bandar Darulaman ke bumi Sintok.

Menelesuri perkembangan kerjayanya pula, pada tahun 1993, beliau dilantik sebagai Pembantu Perpustakaan (S17). Berkat ketekunan, semangat kerja berpasukan dan komitmen yang tinggi, akhirnya berbuah hasil apabila beliau dinaikkan pangkat kepada Pembantu Perpustakaan Kanan (S22) pada tahun 1997. Sebagai seorang Pembantu Perpustakaan Kanan, beliau diberi kepercayaan untuk  merangka dan menyediakan jadual tugasan syif serta menyelia petugas di semua perkhidmatan kaunter di PSB. Beliau juga diberi tanggungjawab untuk menyelia tugasan susunan buku dan perkhidmatan sewa loker. Pada tahun 2018, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat  dari S22 kepada S26 secara  ‘time based’.

Sepanjang beliau bertugas di PSB, Encik Mohamad Noor merupakan staf yang cemerlang dan berwibawa. Beliau selalu  berperwatakan ceria dan sentiasa melontarkan senyuman. Seorang yang berpengalaman luas tentang perkhidmatan PSB, mudah didekati untuk mendapatkan nasihat dan pandangan,  bertanggungjawab, boleh memimpin dan menyelia pasukan dengan baik. Sehingga Mac 2022, beliau telah bertugas di beberapa Bahagian di PSB seperti Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca, Bahagian Koleksi Khas, Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Pengguna, Bahagian Perolehan dan yang terakhir menjadi Ketua Unit di Unit  Perkhidmatan Pelawat , Bahagian Pengurusan Muzium ,Muzium  Pengurusan UUM.

Tepat jam 5.00 petang, disaksikan oleh semua sahabat seperjuangan yang hadir untuk mengucapkan salam perpisahan, Encik Mohamad Noor telah mengetik perakam waktu terakhirnya.  Sebelum berpisah, beliau sempat menitipkan pesanan. Katanya “saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah banyak membantu dan memberi kerjasama kepada saya  selama 32 tahun saya berkhidmat di Perpustakaan dan 3 tahun di Muzium Pengurusan UUM. Saya sayang PSB dan saya sayang semua sahabat-sahabat semua. Saya doakan semoga PSB terus maju dan berjaya melakarkan lebih banyak kejayaan di masa akan datang.”

Seluruh warga perpustakan sentiasa mendoakan agar Encik Mohamad Noor dipermudahkan segala urusan peralihan kehidupan dan diberikan kesihatan yang baik di samping keluarga tercinta. Selamat bersara Chip!

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Ishar Md. Zain