TERUJA DENGAN MUZIUM PENGURUSAN

PSB Online [Berita Muzium] – Muzium  Pengurusan UUM telah menerima lawatan dari Institut Penyelidikan Pengurusan dan perniagaan (IMBRe) pada 26 November 2020 yang lalu. Lawatan seramai enam orang kakitangan daripada IMBRe ini telah diketuai oleh Pengarah IMBRe iaitu Profesor Madya Dr. Zarifah Bte Abdullah.

Lawatan ini telah disambut baik oleh Pengarah Muzium Pengurusan UUM sendiri iaitu Dr. Kasri Saidon. Lawatan dimulai dengan sedikit penerangan ringkas mengenai muzium kepada para pelawat. Lawatan tersebut juga merupakan lawatan sulung IMBRe ke Muzium Pengurusan UUM. Mereka turut berpeluang melihat pameran terbaharu di muzium iaitu pameran pengurusan kematian Islam.

Profesor Madya Dr. Zarifah juga turut meluahkan rasa keterujaan dengan apa yang dipamerkan oleh Muzium Pengurusan UUM dan beliau turut memperuntukkan masa lebih satu jam dalam lawatan tersebut. Tambahan pula, beliau juga tidak menyangka bangunan muzium yang kelihatan tidak begitu besar bila dilihat dari luar mampu menyimpan pelbagai koleksi artifak. Beliau juga menyarankan kepada mana-mana kakitangan UUM yang belum melawat Muzium Pengurusan UUM  supaya meluangkan waktu untuk melawat kerana di sini kita dapat menelusuri sejarah awal UUM.

Reaksi dan pengalaman oleh delegasi IMBre ini sememangnya mencerminkan bahawa Muzium Pengurusan UUM adalah sebuah tempat yang unik dan menarik untuk dikunjungi. Semoga lebih ramai lagi pelawat yang akan hadir untuk mengenali dengan lebih dekat lagi artifak-artifak yang ada di sini.

Disediakan dan gambar oleh: Muzium Pengurusan UUM