TIPS AMALAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN DALAM MEMBURU LAILATUL QADR OLEH USTAZ HAFIZ MUSTAFA LUBIS

Pada 13 Jun 2017 bersamaan 18 Ramadhan 1438H yang lalu, satu lagi ceramah Ramadhan telah berjaya dianjurkan oleh Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Seperti ceramah yang lepas, penceramah jemputan adalah Ustaz Hafiz Mustafa Lubis dan tajuk ceramah beliau kali ini adalah “Memburu Lailatul Qadr”. Ceramah ini telah berlangsung di Auditorium 2, Bangunan Tambahan, PSB bermula jam 11.00 pagi dan telah berakhir pada jam 12.30 tengahari.

Antara intipati ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Hafiz Mustafa Lubis adalah berkisar tentang amalan-amalan yang boleh diamalkan sempena 10 malam terakhir Ramadhan. Menurut beliau, umat Islam diseru untuk memperbanyakkan amal dengan bersolat terawih, witir, mentadabbur Al-Quran, beriktikaf, qiamullail, membangunkan ahli keluarga untuk beramal, bersolat, berzikir, menghayati akhlak ramadhan seperti bersikap belas-kasihan dan memelihara silaturrahim.

Selain daripada itu, beliau turut berkongsi bahawa kita juga digalakkan untuk menunaikan umrah ketika di bulan Ramadhan. Ini kerana pahalanya menyamai seperti menunaikan ibadah haji. Amalan yang lain dalam menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan ialah dengan mengingati dan menghayati bersama sahabat dan keluarga kisah-kisah bersejarah pada bulan Ramadhan agar dapat menambahkan keyakinan dan keimanan di bulan yang mulia ini. Antara peristiwa-peristiwa bersejarah di bulan Ramadhan adalah peristiwa pembebasan Makkah (Fathu Makkah), penurunan kitab suci Al-Quran dan Perang Badar. Selain perlu memperbanyakkan zikir,selawat dan berdoa, Ustaz Hafiz Mustafa Lubis juga turut berkongsi doa Lailatul Qadr untuk dihafal dan dibaca agar kita mendapat manfaat dan keberkatan di malam Lailatul Qadr.

Semoga dengan segala tips amalan yang telah dikongsikan itu dapat memperkuatkan lagi iman kita semua dalam beragama, dan semoga segala amalan diterima dan diberi ganjaran pahala oleh Allah kelak. Inshaa Allah.

Disediakan Oleh: Norashikin Bt Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Bin Ismail