PSB Online – Seperti yang kita sedia maklum, bubur asyura merupakan hidangan yang sangat popular apabila tiba bulan Muharam yakni kehadiran tahun baharu Islam. Keistimewaan bubur asyura ini ialah ianya hanya akan disambut dengan memasak dan mengagih bubur tersebut pada bulan Muharam sahaja.
Oleh yang demikian, Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) turut mengambil peluang menganjur satu program Kacau Bubur Asyura sempena meraikan bulan Muharam pada 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445H baru-baru ini. Umumnya, setiap tahun aktiviti masak bubur asyura adalah merupakan salah satu aktiviti tahunan yang diselit dalam jadual perancangan aktiviti BAKAL di PSB.
Program santai ini bermula seawal jam 8.30 pagi dan melibatkan seramai 40 orang kakitangan PSB. Semua staf yang terlibat bekerjasama menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak 2 kawah bubur asyura bertempat di Loading Bay, Bangunan Utama PSB. Untuk melancarkan proses, Encik Azizan Aziz, staf dari Unit Pengurusan Koleksi telah dilantik dan diberi kepercayaan untuk menyelia proses memasak bubur asyura dari mula sehingga akhir. Pengalaman dan ilmu pengetahuan beliau dari segi penyediaan bahan, kawalan api dan juga adunan bahan merupakan faktor utama untuk menyumbang kepada kelancaran keseluruhan proses memasak. Menurut beliau, untuk mendapatkan bubur yang benar-benar masak dengan tekstur yang tidak begitu kental, tidak melekit, berkilat dan sedap, ianya mengambil sekurang-kurangnya masa 4 hingga 5 jam.
Turut hadir menyokong aktiviti ini ialah Ketua Pustakawan, Prof. Madya Dr. Che Azlan Taib yang turun padang meninjau riuh-rendah pasukan gotong-royong PSB berganding bahu memastikan bubur asyura berjaya disediakan dan diagihkan kepada semua staf PSB dan juga kepada staf pembersihan, Uniutama Property Sdn. Bhd. (UPSB).
Program memasak dan agihan bubur asyura ini telah berakhir pada pukul 2.00 petang seusai kerja-kerja mencuci dan mengemas semua peralatan memasak. PSB mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua staf yang terlibat dari awal sehingga selesai aktiviti ini.
Sesungguhnya penyediaan bubur asyura telah menjadi tradisi yang diamalkan setiap tahun bagi memeriahkan sambutan hari Asyura dalam kalendar Islam. Sementara itu, agihan bubur pula merupakan manifestasi kesyukuran umat Islam untuk menghidupkan jiwa pemurah yang suka bersedekah ddi samping menguatkan tali silaturrahim sesama staf dalam sebuah organisasi.
Semoga, amalan tradisi memasak dan mengagih bubur asyura ini dapat diteruskan lagi di tahun 1446H apabila umat Islam menyambut tahun baharu pada setiap tahun Islam.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Syed Muhammad Amirul Ashraf Bin Syed Ismail