TRAVELOG KEMBARA ILMIAH DAN UKHUWAH: DARI SINTOK KE KUALA LUMPUR

27 Mac 2019

Jauh Perjalanan Luas Pemandangan

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana perancangan untuk berkelana ke ibu kota akhirnya terlaksana jua. Kami berangkat ke ibu kota Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah bas dan MPV Universiti Utara Malaysia (UUM). Seramai 40 orang staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang mengikuti lawatan ini. Lebih kurang jam 9.00 pagi, roda kenderaan pun berputar meninggalkan perkarangan PSB.

Memulakan perjalanan pada awal pagi sememangnya indah namun kebanyakan peserta berasa tidak selesa kerana belum mempunyai kesempatan untuk bersarapan. Maka, destinasi RnR Gurun menjadi pilihan semua untuk mengisi perut yang lapar itu sebelum meneruskan perjalanan. Setelah menempuhi perjalanan 3 hingga 4 jam, sekali lagi kami berhenti rehat di RnR Tapah untuk menikmati makan tengahari dan solat. Sepanjang perjalanan, masa yang berlalu bagaikan tidak terasa dek perbualan rancak dan aksi usik-mengusik rakan-rakan peserta yang mencetuskan gelak tawa di dalam bas. Namun, ada juga segelintir yang memilih untuk menyendiri meninjau pemandangan di luar kenderaan atau melihat telefon bimbit masing-masing. Sejurus melepasi plaza tol terakhir, dari kejauhan sayup-sayup kelihatan bangunan-bangunan pencakar langit membelah awan menghiasi pemandangan kami. Hati mula terdetik “Kuala Lumpur, here we come.” Keterujaan jelas tergambar di wajah masing-masing seolah-olah tidak sabar untuk melalui pengalaman pengembaraan ini.

Setelah tiba di Kuala Lumpur, kami mengambil peluang untuk mengunjungi IKEA Damansara terutamanya kaum wanita yang berkemungkinan sebahagiannya telahpun menyediakan senarai barangan yang ingin diperolehi di sini. Lain pula bagi kaum jejaka jelas terbayang di ruangan mata keselesaan beristirehat di hotel dengan tilam dan bantal yang empuk.

2 jam kemudian, kami pun menuju ke Hotel EDC KL yang terletak di kawasan Chow Kit. Setibanya di sana kami disambut mesra oleh kakitangan hotel. Setelah mendapatkan kunci, melangkahlah kami bersama bagasi ke bilik penginapan masing-masing. Sesudah terbenamnya matahari, sebahagian daripada kami mengambil peluang meninjau-ninjau kawasan sekitar penginapan. Ada yang membeli-belah di uptown bundle, mendapatkan makan malam ataupun bersiar-siar menikmati keindahan kota di malam hari.

Permulaan perjalanan yang indah bermula dari bumi Sintok hingga ke kota metropolitan ini memberikan seribu rasa dan keterujaan di dalam hati. Selamat malam Kuala Lumpur.

28 Mac 2019

Keterujaan Berganda

Hari ini merupakan hari kedua kami di ibu kota Kuala Lumpur. Seawal jam 6.45 pagi kami turun untuk menjamu selera di Kafe Sudirman, Hotel EDC KL. Tambahan pula, jadual program pada hari ini memerlukan kami bergerak seawal mungkin bagi mengelakkan kesibukan lalu-lintas di ibu kota.

Kenderaan dipacu laju menuju ke destinasi yang telah ditetapkan iaitu Wilayah Putrajaya. Perjalanan kami dari hotel ke Nasyrul Quran, Putrajaya mengambil masa hampir 1 jam. Nasyrul Quran iaitu pusat percetakan Al-Quran Malaysia yang dimiliki oleh Yayasan Restu. Setelah kaki melangkah ke dalam kompleks tersebut, mata kami terpana melihat keindahannya. Hiasan dinding yang begitu halus dengan tulisan khat kalam-kalam Allah sungguh memukau pandangan kami. Tanpa membuang masa, kami mengambil kesempatan untuk bergambar sebagai kenang-kenangan.

Kami dipinta masuk ke dewan utama kompleks untuk diberi penerangan latar belakang kompleks iaitu sejarah penubuhan dan bahagian-bahagian yang terdapat di sini. Kami diberi penerangan mengenai proses pembuatan Al-Quran mushaf Malaysia yang terdiri daripada 10 proses lengkap sebelum sesebuah mushaf diterbitkan dan dipasarkan kepada umum. Selain itu, kami diberitahu bahawa setiap corak yang terdapat di dalam Al-Quran terbitan Nasyrul Quran adalah mengikut tema sesebuah negara. Kami juga diberi peluang untuk meninjau di ruangan mushaf tempatan untuk melihat corak-corak hasil terbitan Nasyrul Quran mengikut negeri-negeri yang terdapat di Malaysia. Setelah selesai sesi lawatan, kami mengambil kesempatan itu untuk menyampaikan cenderamata sebagai tanda kenangan yang disampaikan oleh En. Razak Siamin, Penolong Ketua Pustakawan kepada wakil pihak Nasyrul Quran.

Agenda seterusnya adalah untuk mengunjungi bangunan yang paling istimewa di Malaysia iaitu Parlimen Malaysia. Keterujaan itu tidak dapat digambarkan kerana selama ini hanya mampu melihat menerusi kaca televisyen sahaja. Jam menunjukkan pukul 1.15 petang, ini merupakan kali pertama kami menjejakkan kaki ke bangunan Parlimen. Sebelum dibenarkan masuk, kami perlu menunjukkan surat keizinan lawatan kepada pegawai yang bertugas untuk mendapatkan pas pelawat. Kesemua ahli lawatan dinasihatkan menggantungkan pas pelawat tersebut supaya mudah dikenalpasti oleh Pegawai Petugas Parlimen.

Kami disambut mesra oleh Puan Noraini, Pegawai Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) dan beliau menempatkan kami di sebuah bilik berupa sebuah dewan taklimat kecil untuk para pelawat menunggu sebelum dibenarkan masuk ke dalam ruangan persidangan perbahasan ahli dewan. Perasaan seolah-olah tidak percaya bahawa kami telah berjaya meninggalkan jejak di dalam bangunan Parlimen tersebut. Suatu pengalaman baru kami rasakan ketika itu. Sementara menunggu giliran, Puan Noraini mengalu-alukan kedatangan kami ke situ sambil memberi sedikit penerangan mengenai Parlimen Malaysia. Di samping itu, Puan Noraini juga menegaskan beberapa peraturan yang perlu diambil maklum oleh kami untuk memasuki dewan perbahasan di Dewan Rakyat tersebut. Setelah itu, kami diserahkan pula kepada seorang bentara dewan untuk mengiringi kami ke dalam dewan. Keterujaan jelas tergambar di wajah kerana akhirnya kami berjaya masuk ke dalam Dewan Rakyat dan melihat sendiri Yang Berhormat sedang berbahas. Sesi kami berakhir dengan lawatan ke mini galeri yang terdapat di hadapan Dewan Rakyat dan bergerak kembali ke tengah kota.

Memandangkan malam masih muda lantas kami tidak terus pulang ke tempat penginapan tetapi meninjau-ninjau sekitar Kuala Lumpur untuk mencari barangan yang ingin dibeli buat keluarga tercinta. Kami pun tidak melepaskan peluang untuk menikmati makan malam juga. Usai menikmati makan malam, sebahagian kami ada yang masih ingin berjalan-jalan di kawasan sekitar menikmati pemandangan malam hari di ibu kota manakala ada yang ingin pulang untuk membersihkan diri, solat dan berehat bagi menempuhi aktiviti yang bakal dijalankan pada keesokan harinya pula.

29 Mac 2019

Terciptanya Memori Terindah

Hari ini merupakan hari terakhir kami di sini, perasaan bercampur-baur antara sedih dan gembira tidak dapat digambarkan. Selepas bersarapan, masing-masing berkumpul di lobi hotel untuk urusan check out pada jam 9.00 pagi. Sebelum berangkat menaiki kenderaan, Tuan Haji Ku Azmi memberitahu bahawa pada hari ini kami akan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Lokasi PWTC tidaklah begitu jauh daripada hotel penginapan kami kerana hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja. Setelah tiba ke destinasi yang dituju, kami mengambil kesempatan untuk bergambar di hadapan pintu masuk PWTC. Keterujaan kami amat jelas dirasai apabila terpandang poster-poster promosi buku-buku serendah RM 1.00 sebuah. Berpusu-pusu pengunjung membelek-belek buku-buku yang tersusun di ruangan jualan oleh penerbit buku. Gembiranya hati kami bukan kepalang kerana tercapai sudah segala hasrat untuk memiliki buku-buku daripada penulis dan penerbit kegemaran kami. Jam menunjukkan hampir pukul 11.30 pagi, kami semua beredar keluar daripada kerumunan ribuan pengunjung PBAKL untuk menuju ke destinasi seterusnya. Kami bergerak meninggalkan Kuala Lumpur bersama seribu kenangan yang indah menuju ke Shah Alam. Setibanya di sana, pemandu memberhentikan bas di kawasan Seksyen 13 untuk kami menjamu selera dan menunaikan solat. Sejurus selepas itu, perjalanan diteruskan ke PPAS.

Kedatangan kami disambut mesra oleh Puan Rozainees Kamaruddin, Penolong Pustakawan Kanan dari Unit Gerakan Literasi. Beliau memulakan taklimat dengan ucapan aluan dan diiringi dengan persembahan slaid sejarah dan latar belakang PPAS. Setelah itu, kami dibawa melihat bahan-bahan rujukan yang menempatkan koleksi ilmiah dan buku-buku bukan fiksyen yang hanya digunakan untuk tujuan rujukan dan penyelidikan sahaja. Antara bahan yang tedapat di sini ialah Koleksi Peribadi  DYMM Sultan Selangor, Koleksi Akta, Koleksi Akses Terhad dan Koleksi Nadir Umum. Kami turut melewati bahagian-bahagian menarik lainnya di sana. Terpukau seketika melihat pelbagai koleksi yang terdapat di situ. Kami juga dibenarkan bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenang-kenangan. Selepas itu, Encik Razak Siamin selaku wakil dari PSB menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Puan Rozainees selaku wakil PPAS.

Hujan mulai turun renyai-renyai seolah-olah mengiringi pemergian kami yang bakal meninggalkan bumi Selangor dengan seribu kenangan manis. Roda bas berputar meninggalkan kompleks PPAS. Sepanjang perjalanan ke bumi Sintok, ada di antara peserta berbual rancak bersama rakan-rakan, ada yang menonton perlawanan bola sepak yang disiarkan secara langsung melalui telefon bimbit dan ada yang mengambil kesempatan untuk melelapkan mata sebelum sampai ke destinasi. Alhamdulillah, kami semua tiba dangan selamat ke pangkuan keluarga tercinta pada jam 2.00 pagi.

Tiada ungkapan yang lebih indah selain daripada jutaan terima kasih buat penganjur dan urusetia yang berhempas-pulas menyediakan kertas cadangan sehingga memperolehi kelulusan daripada pihak pengurusan. Akhirul kalam, ambillah ikhtibar dan pengalaman daripada lawatan ini kerana sesuatu program yang dianjurkan itu pasti memberi impak yang boleh dimanfaatkan oleh para peserta. Saya akhiri penulisan ini dengan ucapan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan jumpa lagi.

Sekian.

Disediakan oleh: Shafiza Shafie

Gambar oleh: Kompilasi daripada peserta PSB