UNIT LATIHAN DAN KUALITI KOMITED ANJUR BENGKEL BUAT STAF PSB

PSB Online – Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjurkan dua bengkel dalaman secara serentak pada 16 Jun 2020 bertempat di Makmal 1 dan Makmal 2, Bangunan Tambahan PSB.

Bertempat di Makmal 1, Bengkel Pengurusan Rekod Institusi telah dikendalikan oleh Puan Hasma Hj. Harun, Penolong Ketua Pustakawan dari Bahagian Arkib Universiti dengan dibantu oleh Puan Rohaida Rohani, Pembantu Tadbir (P/O) dari Unit Pentadbiran Bahagian Perkhidmatan Pengurusan. Kursus ini  telah disampaikan kepada 16 orang staf PSB yang terlibat  untuk diberi pendedahan dalam mempertingkatkan kesedaran tentang pentingnya amalan pengurusan rekod yang baik. Di samping itu, kursus ini juga  dapat memantapkan lagi ilmu pengetahuan mengenai tatacara berkaitan pembukaan dan penutupan fail  serta kemahiran memproses rekod dan dokumen khususnya dalam mengendalikan rekod-rekod dari peringkat penyusunan, penyimpanan, penjagaan dan pelupusan rekod.  Selain itu juga, peserta turut mempelajari kaedah terkini dalam pengurusan dokumen jabatan.

Sementara itu di Makmal 2, telah berlangsung Bengkel Pengenalan kepada Adobe Photoshop bagi Siri yang kedua. Siri pertama telah berjaya dilaksanakan pada tanggal  2 Jun 2020 yang lalu. Siri bengkel ini, telah dikendalikan oleh Fasilitator Encik Zaihasrim Mohd Dawal, Pembantu Pustakawan dari Unit Laman Web/User Experience  Service, Bahagian Sistem Maklumat.  Seramai 8 orang peserta telah menghadiri dan menjayakan kursus berkenaan. Peserta Kursus Adobe Photoshop ini telah diberi tunjuk ajar mengenai kemahiran asas untuk merekabentuk grafik digital bagi kegunaan web atau multimedia. Objektif kursus ini diadakan adalah bagi  mengembangkan lagi daya kreativi peserta dalam mereka bentuk dan mengolah grafik digital bagi pelbagai kegunaan di masa akan datang.

Demi mencapai matlamat kursus dan meningkatkan kefahaman semua peserta, penerapan yang dilaksanakan dalam menjayakan kursus ini adalah melalui kaedah penerangan, demonstrasi serta latihan amali. Semoga semua peserta dapat memanfaatkan dan mengaplikasikan semua ilmu pengetahuan yang diperolehi dan berkongsi ilmu dengan rakan rakan setugas yang lain untuk meningkatkan lagi  imej dan mutu perkhidmatan di PSB.

Kedua-dua kursus ini telah berlangsung seawal jam 8.30 pagi sehingga jam 4.30 petang.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Abdul Hadi  Mat Talib