WARGA PSB DIDEDAHKAN DENGAN AKTA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI

23 Oktober 2018 – Kebanyakan masyarakat biasanya tidak menyedari mengenai kewujudan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) atau APDP. Dalam persekitaran perpustakaan akademik, para kakitangan perpustakaan lazimnya mempunyai dan menyimpan data-data peribadi pelajar termasuklah petugas perpustakaan. Sehubungan dengan itu bagi melindungi data-data tersebut, satu taklimat ringkas mengenai pengenalan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) telah diadakan pada jam 2.30 petang bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Taklimat yang bertajuk “Personal Data Protection Act 2010 (Act 709): Scope and Implementation” ini telah disampaikan oleh Encik Md. Rejab Bin Md. Desa iaitu Penasihat Undang-Undang dari Unit Undang-Undang, Jabatan Canselori, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut beliau, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) ini bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada maklumat peribadi seseorang individu yang telah diproses dan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Menurut beliau, akta ini menyerupai dengan Akta Perlindungan Data (Data Protection Act) dari United Kingdom yang dijadikan sebagai sumber rujukan.

Selain itu beliau juga berkata data-data peribadi seseorang individu yang diberikan kepada sesebuah organisasi adalah boleh diperdagangkan untuk menghasilkan keuntungan sekiranya ia tidak dilindungi dengan baik. Tambah beliau, dalam persekitaran komersial, akta ini adalah untuk menjaga subjek data bagi tujuan pengkomersilan. Di kesempatan ini, beliau juga turut mengingatkan bahawa sebagai sebuah organisasi yang memproses data peribadi, mereka haruslah mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di dalam akta ini.

Di samping itu, beliau juga menekankan beberapa seksyen yang terkandung di dalam akta tersebut antaranya adalah remedi kepada subjek data, denda yang dikenakan, tujuan yang dibenarkan bagi pengambilan data, risiko yang berpotensi, prinsip perlindungan data, termasuklah pelanggaran data (data breach) dan lain-lain lagi.

Secara umumnya, dengan adanya Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) ini, ianya  dapat menjamin keselamatan terhadap maklumat yang diberikan kepada mana-mana pihak tertentu agar maklumat tersebut tidak disalahgunakan mahupun diperdagangkan sewenang-wenangnya bagi kepentingan mereka.

 

Disediakan dan gambar oleh : Noor Shazatul Niesha Binti Muhamad Fadzri