
28 Mac 2019 – Satu pengalaman baharu kepada staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), apabila berpeluang menjejakkan kaki di bangunan Parlimen Malaysia serta melihat dan mendengar sendiri semasa sidang dewan sedang berlangsung.
Bermula di pintu masuk utama, peserta lawatan perlu menjalani pemeriksaan yang ketat oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang bertugas kerana keselamatan di bangunan berkenaan perlu diawasi setiap masa dan merupakan prosedur biasa buat para pelawat. Setelah mendapat pas pelawat, semua peserta lawatan diarah ke pintu bernombor 7 iaitu pintu masuk utama bagi pelawat.
Tiba di pintu bernombor 7, sekali lagi kami perlu lalui proses tapisan keselamatan. Kami disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam yang ditugaskan membawa kami ke Galeri Awam. Kami semua diberi taklimat dan peraturan apa yang boleh dan tidak boleh semasa berada di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. “Semua pelawat perlu memakai pas pelawat apabila berada dalam kawasan Parlimen”, kata salah seorang peserta lawatan.
Para peserta lawatan juga turut diingatkan bahawa kamera dan telefon bimbit adalah dilarang untuk dibawa masuk ke dalam dewan, dan sekiranya salah seorang didapati melanggar peraturan tersebut, semua peserta akan diminta keluar oleh Bentara yang bertugas. Itu adalah di antara peraturan-peraturan yang harus dipatuhi oleh semua peserta lawatan ini dan seharusnya diambil berat akan segala peringatan yang telah diberikan bagi melancarkan proses lawatan di dalam Dewan nanti. Selain itu, mereka juga turut diberi taklimat mengenai fungsi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara seperti Dewan Rakyat mempunyai 222 orang ahli dan setiap ahli adalah mewakili satu kawasan pilihanraya. Pemilihan ahli-ahli adalah lima tahun sekali melalui proses pilihanraya umum.
Manakala Dewan Negara pula mengandungi 70 orang ahli iaitu 2 orang ahli dipilih dari setiap 13 Dewan Undangan Negeri dan 44 orang lagi oleh Yang Di-Pertuan Agong berdasarkan kepada pengalaman dan kebijkasaan mereka, atau mewakili kaum minoriti, golongan profesional, korporat dan golongan-golongan lain. Tempoh jawatan seseorang Senator (Ahli Dewan Negara) ialah tiga tahun untuk satu penggal dan boleh dilanjutkan kepada dua penggal. Dewan Negara adalah tidak terjejas dengan pembubaran Parlimen. Selain itu, Parlimen adalah badan perundangan tertinggi di negara ini dan ianya merangkumi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Kesemua peserta lawatan berasa cukup teruja dan gembira ketika di dalam Parlimen kerana ianya merupakan pengalaman yang paling bermakna dapat menjejakkan kaki ke salah satu badan perundangan tertinggi negara Malaysia ini. Lawatan ini di akhiri dengan melawat galeri Parlimen yang menempatkan Cokmar, Hansard dan Jubah Speaker.
Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim