ZUMBA BERSAMA PSB MERIAH

22 Mac 2018 – Sempena meraikan Hari Bersama Pelanggan PSB 2018, pihak Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan aktiviti Zumba khas untuk kaum hawa sahaja dan terbuka kepada semua warga UUM.

Aktiviti ini telah diadakan di ruang legar hadapan Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB bermula jam 8.30 pagi. Para peserta mula ‘berzumba’ dengan dimulai dengan acara pemanasan badan terlebih dahulu dan diikuti oleh tarian Zumba yang telah diketuai oleh 2 orang tenaga pengajar jemputan yang amat berpengalaman.

Tujuan utama aktiviti ini diadakan adalah untuk menyemai sikap dan menggalakkan staf PSB serta warga UUM mengamalkan budaya hidup yang sihat selain dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama mereka. Acara yang berlangsung selama 90 minit ini amat bermakna kerana bukan sahaja ia dapat menyegarkan badan malah ia dapat menzahirkan rasa gembira serta mengukir senyuman keceriaan yang jelas terpapar pada wajah para peserta dek kerana tekanan bekerja selama ini.

PSB juga yakin bahawa aktiviti sebegini dapat melahirkan warga UUM yang cergas, sihat dan cerdas serta mampu melaksanakan tanggungjawab mereka kepada jabatan dengan lebih efisien. Aktiviti ini berakhir sekitar jam 10.00 pagi. Semoga aktiviti seperti ini dapat dianjurkan lagi di masa akan datang.

Disediakan oleh : Norashikin Ibrahim

Gambar oleh: Siti Hajar Abdul Rahman