ZUMBA DAN GOTONG-ROYONG 5S JADI PILIHAN PSB UNTUK TINGKATKAN PERSEKITARAN KERJA YANG BERSIH DAN SIHAT

PSB Online – Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL) dan Jawatankuasa 5S, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan aktiviti Zumba dan Gotong-royong Zon pada 9 Ogos 2022.

Bagi membudayakan gaya hidup yang sihat dan menjadikan kesihatan adalah keutamaan, Zumba selama 1 jam telah diadakan sebelum aktiviti gotong-royong di zon masing-masing dimulakan. Aktiviti ini telah diadakan bertempat di Foyer Auditorium 2 pada jam 8.30 pagi.

PSB adalah merupakan antara jabatan utama yang terbesar dalam Universiti Utara Malaysia (UUM), dan turut mempunyai jumlah kakitangan yang ramai. Oleh yang demikian, terdapat 8 Zon 5S di PSB yang perlu dibersihkan. Zon-zon tersebut adalah Zon Delima, Berlian, Nilam, Baiduri, Kristal, Zamrud, Jed dan Intan. Gotong-royong turut dilaksanakan bagi menghadapi audit yang dijadualkan akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Gotong-royong ini bertujuan untuk membersihkan dan memastikan ruang kerja dan persekitaran berada dalam keadaan teratur dan kemas. Persekitaran yang bersih dan teratur mampu memotivasikan dan meningkatkan produktiviti kerja ke arah yang optimum. Oleh yang demikian, aktiviti ini bukan sahaja kerana faktor akan diaudit, namun ianya juga adalah untuk kebaikan individu dan jabatan.

Ketua Zon bertindak sebagai pemandu aktiviti gotong-royong kerana mereka adalah individu yang dilantik memastikan ruangan zon masing-masing memenuhi kriteria pemarkahan 5S. Setiap kriteria perlu dipenuhi jika ingin dinobat sebagai juara dan mendapat markah yang tertinggi, namun apa yang ingin diterapkan melalui aktiviti 5S ini adalah mengenai kerjasama memastikan ruangan sentiasa berada dalam keadaan yang menjamin kesejahteraan seperti kemas, teratur dan bersih.

Semoga gotong-royong 5S ini mampu menjadikan PSB sebagai sebuah jabatan yang sentiasa mengamalkan budaya 5S dan akan selesa untuk dikunjungi.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: AJK 5S