Perkhidmatan untuk Pengguna Kurang Upaya

Pengaksesan Diutamakan!

Pihak perpustakaan memberi penekanan untuk menyediakan akses yang setara kepada semua pengguna termasuk kepada mereka yang mempunyai ketidakupayaan sementara atau kekal kepada setiap perkhidmatan dan sumber di dalam perpustakaan. Sebagai sebahagian dari komuniti universiti, anda mempunyai hak yang sama untuk mengakses koleksi perpustakaan dan maklumat seperti yang dikehendaki. Untuk memastikan ia tercapai, kami telah menstrukturkan persekitaran terbaik di dalam perpustakaan untuk membantu pengguna yang tidak upaya termasuk kemudahan fizikal dan pengaksesan atas talian. Sila maklumkan kepada kami sokongan yang diperlukan dan kami akan membantu sebaik mungkin. Anda dialu-alukan untuk bertanya kepada staf di meja perkhidmatan atau pasukan petugas untuk bantuan jika diperlukan. Kami berharap usaha ini akan membantu anda mendapat pengalaman pembelajaran yang setara semasa anda berada di dalam perpustakaan sepertimana warga UUM lainnya.

UUM Library Services for Disabled User
Bantuan

Pengguna kurang upaya yang memerlukan bantuan khas mengakses perkhidmatan perpustakaan atau bahan adalah digalakkan untuk menghubungi kami terlebih dahulu untuk pengurusan tersebut. Pihak Perpustakaan akan menugaskan seorang staf untuk membantu jika diperlukan untuk menguruskan keperluan berkaitan dengan sumber, perkhidmatan atau alatan yang diperlukan. Sila hubungi pegawai bertanggungjawab seperti dibawah sekurang-kurangnya 3 hari semasa waktu pejabat sebelum tarikh lawatan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi : Bahagian Sirkulasi, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah | Telefon (Puan Asmaniza Mansor : 04-9283615 / En. Norhardi Saad : 04-9283616)

Untuk memastikan kunjungan anda adalah lancar dan boleh diakses dari sebarang alatan yang digunakan, kami telah mengambil pertimbangan sewajarnya dalam merangka pelan bangunan dan menguruskan tetapan kemudahan yang bersesuaian untuk mengatasi situasi yang berkaitan.

  • Akses Bangunan Utama - Premis bangunan utama perpustakaan boleh diakses dari Aras Bawah dengan menggunakan tanjakan khas atau permukaan bercondong untuk kegunaan kerusi roda atau seumpamanya yang terletak di bahagian kanan foyer. (Bersebelahan Bilik Bacaan Pintar & Auditorium 1). Dari sini anda boleh mencapai pintu berkaca berdekatan Auditorium 1 dan mengambil lif yang membolehkan akses ke semua aras.
  • Akses Bangunan Baru - Kemudahan yang sama boleh dicapai jika anda mengakses di bangunan baru dari aras bawah. Sila ikuti lorong permukaan bercondong sehingga anda mencapai ke pintu masuk. Lif untuk capaian ke semua aras disediakan untuk kemudahan anda.
  • Tempat Duduk Studi - Semua meja atau karel studi yang disediakan di dalam premis perpustakaan adalah mengadaptasi keperluan pengguna kurang upaya dan boleh digunakan secara bebas.
  • Tandas - Semua tandas di bangunan baru perpustakaan telah direka bentuk untuk memenuhi keperluan pengguna kurang upaya dan boleh didapati pada setiap aras.
  • Turapan Lantai Sentuhan - Kepada mereka yang menghadapi masalah penglihatan, turapan lantai sentuhan atau barisan bonjolan berwarna kuning disediakan bersama permukaan bercondong dan menghala terus ke pintu masuk di aras bawah bangunan utama.
  • Lif - Seperti dinyatakan terdapat lif di kedua bangunan perpustakaan dan boleh digunakan oleh semua pengguna. Namun perlu dinyatakan bahawa saiz lif di bangunan utama adalah kecil atau kompak berbanding dengan saiz lif di bangunan baru.
  • Bilik Studi - Sebuah bilik khas untuk pengguna kurang upaya terutamanya kepada mereka yang mempunyai masalah penglihatan disediakan di bangunan utama, aras tiga dan boleh digunakan dengan segera jika diperlukan.
  • Parkir - Ruang meletak kenderaan khas untuk pengguna kurang upaya turut disediakan di kedua bangunan perpustakaan untuk membolehkan anda meletak kenderaan dan mencapai pintu masuk dalam jarak yang berdekatan.

Koleksi perpustakaan yang meliputi kepelbagaian jenis bahan diletak dan disusun di lokasi strategik untuk membantu pengguna mencapainya dengan mudah dan tepat. Polisi ini turut mengambil kira keperluan pengguna kurang upaya iaitu dengan mengambil kira pendekatan yang bersesuaian.

  • Lokasi Koleksi Umum ~ Sebagai koleksi utama perpustakaan yang menerima jumlah kepenggunaan yang tinggi, ia diletakkan di Aras Bawah Bangunan Baru PSB untuk memudahkan aksesan dari mana-mana arah. Ia juga mudah diakses dengan adanya ruang tangga yang luas dan lif untuk membantu pengguna ke semua aras jika diperlukan. Idea yang sama turut diimplimentasikan kepada koleksi lainnya dengan pandu arah yang jelas sebagai panduan.
  • Susunan di Rak ~ Jika diperhatikan, penyusunan buku di rak buku perpustakaan di reka bentuk untuk memastikan pengguna mempunyai ruang yang menyenangkan dan mencukupi semasa menyemak buku atau bahan perpustakaan. Kebanyakan rak adalah disusun berjarak 4 kaki (1.2 meter) dalam ukuran diantara satu sama lain supaya semua pengguna termasuklah pengguna kurang upaya yang menggunakan kerusi roda atau tongkat dengan mudah dapat bergerak tanpa adanya gangguan. Pada lokasi yang sama Bangku Bantuan turut disediakan untuk membantu pengguna mendapatkan buku di bahagian atas rak.

Jika diperhatikan, terdapat ikon yang dikenali sebagai Pengaksesan W3C pada bahagian kanan laman web ini dan direka bentuk untuk membantu pengguna yang menghadapi masalah penglihatan semasa mengakses. Ia adalah satu kompilasi alatan navigasi untuk membantu anda supaya ia dapat memenuhi keperluan mengikut situasi anda dan tidak menghalang anda dari mendapatkan maklumat yang disediakan dari laman ini. Sila gunakan alatan tersebut dengan mengklik pada pilihan anda dan paparan web akan berubah mengikut pilihan tersebut. Paparan pelayar anda akan kembali kepada keadaan asal jika anda klik pada pautan Reset yang disediakan.

Anda boleh memahami dengan penuh usaha Pengaksesan W3C ini di dalam penyataan pengaksesan kami sini

Kongsi :