MUZIUM UUM DAN ARKIB PSB KETENGAH SEJARAH DAN KHAZANAH NEGARA YANG SEMAKIN DILUPAKAN

Universiti Utara Malaysia (UUM) yang merupakan sebuah Universiti Pengurusan telah mengorak selangkah ke hadapan dengan menubuhkan sebuah Muzium yang dikenali sebagai Muzium Pengurusan UUM. Menginjak ke usia 33 tahun penubuhan UUM, tidak dinafikan bahawa sebuah muzium sememangnya penting untuk menyimpan khazanah dan barangan universiti yang bernilai untuk rujukan masa hadapan.

Bagi menambah koleksi Muzium Pengurusan UUM, Bahagian Arkib,Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan Muzium Pengurusan UUM telah mengadakan dua temuramah bersama tokoh dan waris tokoh di sekitar Kedah. Pada 5 Jun 2017 (Rabu) yang lalu, telah diadakan temuramah bersama penerima Pingat Gagah Berani (PGB), Mejar (B) Basri Bin Din di Kampung Putat, Kodiang, Kedah yang telah banyak menabur jasa kepada negara dalam usaha membanteras kegiatan Komunis. Mejar Basri dilahirkan pada 30 Mei 1951 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Siputeh Padang Sera (1958), Sekolah Rendah Tunku Bendahara (1962) dan Sekolah Menengah Tunku Bendahara (1964 hingga 1969). Selepas tamat persekolahan, beliau telah menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai 10 Jun 1971 dan telah ditempatkan di Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi. Menyingkap pengalamannya ketika bertempur dengan pengganas Komunis dalam Operasi Indera (6 Disember 1973) di Sang Lee Estate Karak, Pahang, beliau telah berjaya menembak mati 2 orang pengganas komunis dan seorang tentera telah maut. Menurut beliau, itu adalah pengalamannya yang pasti tidak akan dapat dilupakan sepanjang hidupnya dan semoga ianya dapat memberi inspirasi kepada generasi kini dan akan datang dalam memupuk semangat nasionalisme dan patriotisme terhadap negara Malaysia. Staf yang terlibat dalam temuramah ini adalah En Abdul Hadi Hassan, En. Airuzaidi Abdul Razak dan Pn. Noor Khairul Izani Mohd Nadzim.

Manakala pada 10 Jun 2017 (Sabtu), satu lagi temuramah telah berjaya diadakan di Kampung Kunluang Mukim Binjai, Jitra oleh Pn. Noor Khairul Izani Mohd Nadzim. Temuramah ini juga telah berjaya mengangkat satu cabang seni iaitu wayang kulit Seri Asun yang telah lama bertapak di Negeri Kedah. Suatu ketika dahulu, watak Etong dan Ai Kiaw (Pak Tam) telah berjaya menarik ramai peminat wayang kulit Seri Asun apabila persembahan sentiasa mendapat sambutan dan diadakan hampir setiap masa. Namun, kini ianya hanya tinggal sejarah, dan kini wayang kulit Seri Asun hanya tinggal bahan kajian sahaja. Maklumat ini telah diperolehi melalui temubual bersama waris En. Abdul majid Mohd Noh iaitu Cik Farah. Beliau telah bercerita mengenai sejarah keluarganya yang berperanan sebagai Tok Dalang wayang kulit sehingga dapat mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu. Tok Dalang yang petah berceloteh berunsur komedi berkaitan isu-isu semasa menggunakan perantaraan Bahasa melayu dan dialek Bahasa Siam amat digemari oleh orang ramai. Pada tahun 1970 setelah En. Mohd Noh atau lebih dikenali sebagai Pak Noh yang merupakan datuk kepada Cik Farah meninggal dunia, peranan Tok Dalang telah diambil alih oleh anaknya iaitu En. Abdul Majid, bapa kepada Cik Farah. Ketika zaman kemasyhuran wayang kulit Seri Asun, telah banyak persembahan telah dibuat di seluruh negara bahkan hingga ke luar negara antaranya adalah negara Jerman, Korea, China, Taiwan, Indonesia, Thailand, Eropah dan Switzerland. Menurut Cik Farah, sepanjang penglibatan bapanya sebagai anak seni wayang kulit, beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1992 dan Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) pada tahun 1998 serta menerima anugerah Tokoh Budaya 2015. En. Abdul Majid telah meninggal dunia pada 13 Julai 2016 dan meninggalkan 2 orang balu serta 8 orang anak. Namun, walau jasad sudah tiada di bumi, En. Abdul Majid akan terus kekal sebagai lagenda tokoh kesenian Negeri Kedah sehingga kini dan selama-lamanya. Malangnya, tiada lagi pewaris yang boleh menandingi kehebatan beliau sebagai Tok Dalang wayang kulit.

Semoga dengan kerjasama seumpama ini, koleksi Muzium Pengurusan UUM akan semakin bertambah dan semakin mantap dan segala khazanah-khazanah ini terus hidup menjadi memori berharga untuk rujukan generasi akan datang.

60total visits,2visits today