PSB BANGGA TERIMA KUNJUNGAN PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH UNIVERSITI BAHARU YANG BERBAHAGIA DATO’ PROF. DR. SUDIN BIN HARON

Pada 23 Oktober 2018 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) amat berbangga dan berbesar hati menerima kunjungan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu iaitu Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr. Sudin Bin Haron.

Beliau yang tiba di perkarangan Bangunan Utama PSB tepat jam 8:30 pagi, telah disambut mesra oleh, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Ketua Pustakawan, Bendahari dan Penasihat Undang-Undang dengan turut diiringi oleh  semua pustakawan PSB dan beberapa pegawai jabatan lain yang terlibat.

Usai sesi bergambar di hadapan pintu masuk, Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr. Sudin telah diiring masuk ke dalam PSB untuk sesi taklimat ringkas di Bilik Mesyuarat B, Bangunan Tambahan. Taklimat ini telah disampaikan oleh En. Salleh Hudin Mustaffa selaku Ketua Pustakawan PSB.

Sementara itu, Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr. Sudin kelihatan tertarik dan berminat dengan perkembangan PSB dan beliau turut menyatakan pandangan beliau dengan cadangan mewujudkan ruangan galeri wakaf di PSB. Selain itu, menurut beliau lagi amat baik sekiranya di masa hadapan, PSB dapat mewujudkan satu sudut khas yang mempunyai koleksi buku-buku yang telah diterbitkan oleh semua Profesor di UUM.

Tambah beliau, “Sebagai Pengerusi, saya dan ahli-ahli dalam LPU akan memastikan apa yang dilaksanakan serta disusun oleh pihak perpustakaan perlu disokong dengan semua pihak untuk terus bekerja bersama-sama bagi memajukan universiti amnya.” Ketua Pustakawan menyambut baik segala cadangan dan pandangan dan ianya akan cuba direalisasikan dari semasa ke semasa.

Sesudah taklimat, Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr. Sudin telah dibawa melawat sekitar PSB dan kunjungan ini diakhiri dengan sesi penyampaian plak sebagai cenderahati sekitar jam 10.00 pagi.

 

Disediakan oleh : Zaiful Izwan Ibrahim dan Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh : Mohamad Fuzi Ismail

132total visits,4visits today