SELUSURI SEJARAH KEGEMILANGAN TOKOH SUKAN KEDAH DI MUZIUM PENGURUSAN UUM

Sintok, 22 Januari 2020 – Satu pameran bertemakan Tokoh Sukan dari 1 November 2019 sehingga 30 Mac 2020 sedang diadakan di Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM). Pameran ini dibuka kepada orang ramai pada setiap hari bekerja bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Tiket lawatan adalah serendah RM 1.50 untuk  pelajar dan kanak kanak dan RM3.00 untuk orang dewasa.

Pameran ini adalah bertujuan untuk memberi penghormatan kepada tiga tokoh sukan negara kelahiran negeri Kedah yang hebat dan berwibawa di arena tempatan mahupun antarabangsa.  Mereka adalah saudara Omar Saad, seorang tokoh dalam sukan lumba basikal, saudara Adnan Saidin, si raja libas dalam sukan sepak takraw dan saudara Roshidi  Shaari  iaitu penyerang lipas kudung dalam sukan bola sepak.

Menurut Encik Iznan Kasim, Penolong Kurator Muzium, pameran tokoh sukan ini diadakan adalah untuk memperingati jasa mereka yang telah banyak berkorban dari segi tenaga, masa dan usaha gigih untuk mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu. Ujar beliau lagi “Inisiatif ini dilakukan supaya generasi sekarang kenal dan tahu bahawa negeri Kedah pernah melahirkan jaguh-jaguh sukan yang berprestasi cemerlang di peringkat antarabangsa di samping sebagai usaha agar nama veteran sukan ini tidak tenggelam begitu sahaja dari lipatan sejarah sukan Kedah mahupun Malaysia.”

Pameran ini secara ekslusifnya membawa pengunjung mengimbas kembali sejarah kegemilangan mereka pada era tahun 1960an, 70an dan 80an serta komitmen mereka  selepas  bersara  dalam memajukan industri sukan berkenaan sehingga kini. Tarikan  utama pameran ini antaranya adalah koleksi  piala, pingat,  jersi, dan lencana yang pernah dimenangi ketika mewakili negara ke Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik. Selain itu, dikongsikan juga maklumat peribadi, kronologi penglibatan di dalam sukan, gambar kenangan detik-detik penting dalam pertandingan dan kejohanan sukan yang disertai oleh mereka.

Sejarah ini bukan sahaja dapat membantu mengingatkan pengunjung bahawa ada ramai tokoh atlet dari negeri Kedah  tetapi turut membuktikan bahawa tokoh –tokoh ini memiliki semangat kental untuk bersaing dan berjuang di sukan terkemuka dunia di Sukan Olimpik Munich dalam acara lumba basikal seperti saudara Omar Saad. Begitu juga saudara Adnan Saidin pernah digelar  “Raja Libas dan Raja Sepak Takraw Malaysia ”. Manakala saudara Roshidi Shaari antara yang termuda yang pernah menyarung jersi kebangsaan untuk Pesta Bola Merdeka Malaysia Peringkat Asia suatu ketika dahulu. Walaubagaimanapun, Negeri Kedah pada hari ini dilihat masih kurang melahirkan jagoan sukan yang menjadi sebutan nasional dan antarabangsa di dalam arena lumba basikal ,sepak takraw mahupun bolasepak setaraf dengan tokoh tokoh sukan ini. Mungkin kerana pelbagai faktor seperti kekangan bajet, faktor insentif, dana tajaan dan lain-lain lagi. Oleh itu, satu mekanisme pembangunan atlet sukan yang efektif serta mampu memberi jaminan masa hadapan atlet juga mungkin perlu diteliti dengan lebih lanjut agar lebih ramai atlet dunia dapat dilahirkan di masa hadapan.

Pameran semasa tokoh-tokoh sukan negara ini bukan sahaja memberi peluang kepada kakitangan dan pelajar UUM untuk mengenali mereka dengan lebih dekat, tetapi juga dapat menarik minat pengunjung luar untuk berkunjung ke UUM melawati Muzium Pengurusan  pertama di Malaysia ini.

 

Disediakan oleh: Azniza Ahmad

Gambar oleh: Azniza Ahmad dan Muzium UUM

Share :