PSB Online – Facebook (FB) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) raih tontonan dan interaksi yang menggalakkan ketika sesi siaran langsung perkongsian topik Libguides! Utilize Our Resources.
Perkongsian melalui siaran langsung Facebook PSB adalah julung kali diadakan dan antara inisiatif utama medium ini digunakan adalah untuk meningkatkan jumlah pengikut Facebook PSB serta menggalakkan interaksi bersama pengguna melalui media sosial yang kini menjadi tren.
Pada 23 November 2021, sesi ini telah disampaikan oleh Pn. Fadzilah Hussin, Pustakawan dari Unit Pendidikan Pengguna, Bahagian Perkhidmatan Pembaca, PSB. Menurut Fadzilah, objektif utama adalah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pengguna dalam mengakses sumber dan perkhidmatan atas talian perpustakaan. Antara fokus utama adalah pengenalan kepada platform Libguides iaitu sebuah tempat yang menghimpunkan pelbagai maklumat berguna kepada pelajar dan penyelidik seperti sumber ilmiah berautoritatif serta sumber perpustakaan yang telah disediakan secara teratur mengikut kemudahan akses pengguna.
Sepanjang bersiaran langsung, PSB telah menerima sebanyak 180 tontonan, 729 engagements, 789 people reach, 75 like, 36 comments dan 8 shares. Penonton yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar amat berminat dengan kandungan yang disampaikan dan jumlah interaksi serta capaian kepada sesi ini adalah suatu kejayaan yang boleh dibanggakan.
PSB akan terus memperbanyakkan lagi sesi sebegini yang menghimpunkan pengguna ke dalam satu platform yang mudah diakses iaitu Facebook serta dapat mengetahui komen dan reaksi pengguna secara siaran langsung. Pengguna yang mengikuti sesi ini diberi mata merit dan sijil penyertaan elektronik. Sesi ini berlangsung selama satu jam dan tamat sekitar jam 3.50 p.m. Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan sesi ini.
Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias