Koleksi Khas
Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohd Yusof Hasan

Latar Belakang Prof. Emeritus Dato Dr. Mohd Yusof Hasan

Profesor Emeritus Mohd Yusof Hasan dilahirkan pada 20 Januari 1940, di Hosba, Kubang Pasu, Jitra, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Hosba dan pendidikan menengah di Sekolah St. Michael (Swasta), Alor Setar.

Dengan kelulusan Lower Certificate of Education (LCE) dan Sijil Perguruan (Cert. Ed) di Pusat Latihan Harian (Day Training Centre), Alor Setar, beliau terlibat dalam dunia pendidikan dan perguruan selama lebih 50 tahun. Beliau bermula dengan menjadi guru sekolah rendah seperti di Sek. Keb. Tunku Bendahara, Kodiang; Sek. Keb. Jitra; Sek Keb. Pendang dan Sek. Keb. Tunjang mulai tahun 1960. 

Pada tahun 1968/69, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan melalui kelulusan MCE dan HSC secara persendiriran. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda ( Kepujian) B.A. (Hons) dalam bidang Pengajian Melayu. Latihan ilmiahnya bertajuk “Novel-novel Shahnon Ahmad: Kajian dari sudut Psikologi”. Beliau juga lulus Diploma Pendidikan (Dip.Ed) di universiti yang sama. Selepas itu, mulai 1971 beliau pulang ke Kedah dan mengajar di Sek. Men. Air Hitam, Sek. Men. Pulau Nyior dan Sek. Men. Dato’ Omar.

Pada tahun 1972, beliau menyambung pengajian ke Universiti Sains Malaysia untuk mendapat Ijazah Sarjana ( M.A) dengan menjadi tutor secara sambilan. Pada tahun 1977, beliau menjadi pensyarah Kesusasteraan Moden di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Tesis MAnya bertajuk “Bahasa Daerah Dalam Karya Shahnon Ahmad”.

Seterusnya pada tahun 1981, beliau mendapat Biasiswa Staf Akademik USM untuk melanjutkan pelajaran di Australian National University (ANU), Canberra dan tamat pada tahun 1984. Tesisnya bertajuk “Novels of the Troubled  Years: Works of Shahnon Ahmad 1965-1978”.

Mohd Yusof menjawat jawatan Profesor Madya di Sekolah Bahasa dan Pemikiran Saintifik, Universiti Utara Malaysia, sekembalinya dari Australia. Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Dekan dan seterusnya Dekan Sekolah berkenaan. Di UUM, Mohd. Yusof berjaya membentuk modul atau teori awal tentang Epistemologi, Pemikiran, Etika dan Psikologi sebagai kursus wajib bidang Pendidikan dan Pengurusan. Beliau pernah dilantik sebagai Profesor dalam bidang Pemikiran dan juga menjawat jawatan Pengarah, Penerbit Universiti.

Semasa di UUM, beliau telah mengambil cuti sabatikal dan membuat penyelidikan bertajuk “Novel Negara Brunei Darussalam  1940-1992: Suatu Analisis Kritis Intrinsik-Ekstrinsik” di Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada tahun 1992. Beliau juga terlibat dalam pengendalian kursus-kursus Pemikiran dan Kesusasteraan secara sambilan selama empat tahun di Universiti Malaysia Sabah (UMS) – sekitar tahun 1998-2000.

Mulai tahun 2002, Mohd Yusof berpindah ke Universiti Pendidikan Sultan Idris menjawat jawatan Profesor bidang Pemikiran dan Etika di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Di sini juga, beliau pernah menjawat jawatan Pengarah, Pusat Pengajian Siswazah, dan Felo Penyelidik Kanan di Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki dan di Institut Peradaban Melayu. 

Mohd. Yusof Hasan pernah menjadi perunding dalam bidang-bidang Kesusasteraan, Pemikiran dan Etika sebagai Pemeriksa Luar tesis pascasiswazah dan penilai kenaikan pangkat Profesor bagi Universiti MalayaUniversiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Malaysia, Open University Malaysia dan Australian National University. Di samping itu, beliau menghasilkan lebih dari 200 kertas kerja dan artikel dalam bidang Kesusasteraan, Pemikiran dan Etika Pengurusan.

Karya-karya penulisan Mohd. Yusof Hasan banyak membicarakan tentang pemikiran tokoh-tokoh di Malaysia dan di Brunei Darussalam seperti: Pengarang Abdullah Munsyi, Pendeta Za’ba, Tokoh Politik Mahathir Mohamad, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, 12 Sasterawan Negara Malaysia dan 16 Novelis Brunei Darussalam.

Beliau dianugerahi darjah-darjah BKM (1986), AMK (1998), dan DSDK (2000) dan Tokoh Guru Kedah (1998) oleh Kerajaan Negeri Kedah dan AMN (1999) oleh Kerajaan Malaysia. Pada tahun 1999, beliau memperolehi jawatan Profesor dalam bidang Pemikiran, satu-satunya bidang baharu di Malaysia dari Universiti Utara Malaysia dan beliau mendapat anugerah gelaran Profesor Emeritus yang pertama dari Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 2009.

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof  Hasan pernah menjadi Felo Penyelidik Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan Karyawan Tamu, Dewan Bahasa dan Pustaka dan menjadi Penyelidik di Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi menyelenggarakan kajian tentang tokoh-tokoh pendidikan tanah air seperti Shaari IsaIkon Pendidikan Malaysia (2014), Awang Had SallehLegenda Pendidikan Global Malaysia (2015) dan SN Shahnon AhmadAnak Desa Menggapai Dunia (2015).

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof  Hasan menamatkan zaman bujang beliau pada tahun 1968 apabila menikahi perempuan pilihan hatinya iaitu Datin Hajah Fatimah Binti Haji Saat. Gadis yang di sunting untuk dijadikan suri hidupnya ini mempunyai pertalian keluarga dengan beliau. Datin Hjh Fatimah merupakan dua pupu beliau iaitu anak kepada Haji Saat yang merupakan sepupu kepada bapa kandung beliau Hasan Bin Alang.

Beliau merupakan suri rumah tangga sepenuh masa walaupun Hjh Fatimah seorang suri rumah tangga beliau merupakan orang yang sentiasa berada di belakang suaminya untuk membakar semangat profesor untuk menyahut cabaran hidup dan tabah menghadapi segala rintangan yang dilaluinya dengan penuh berkeyakinan.

Hasil perkongsian mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Fahainis, Shafiz Affendi, Shafiza Nawal dan Siti Ilyana. Anak pertama beliau Fahainis merupakan pensyarah TESL di Universiti Utara Malaysia dan telah mempunyai tiga orang cahaya mata.

Anak kedua beliau Shafiz Affendi juga seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dengan mendapat pendidikan peringkat doktor falsafah.

Begitu juga hebatnya anak ketiga beliau merupakan seorang guru TESL disalah sebuah sekolah yang terletak di Jitra. Siti Ilyanah anak ke empat beliau juga seorang pensyarah TESL dan berkahwin dengan pasangan hidupnya yang merupakan seorang pegawai universiti. Keempat-empat anak beliau mengikut jejak langkah beliau menceburi bidang pendidikan sebagai kerjaya mereka. Bak kata pepatah “Dimana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi”.

BapaHasan Alang
IbuWan Pah Wan Ahmad
IsteriDatin Hajah Fatimah Haji Saad
AnakFahainis
 Shafiz Affendi
 Shafiza Nawal
 Siti Ilyana
Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (SPB4L)Luhur – Pemikiran luhur merupakan pemikiran suci berdasarkan kepada keimanan, ketauhidan, dan kepercayaan manusia kepada yang maha Esa. (Mohd. Yusof Hasan, 2000). Pemikiran luhur dalam agama Islam melibatkan komunikasi manusia sebagai hamba Allah secara terus dengan Allah serta hubungan manusia dengan manusia dan alam. Dalam Al-Quran, telah pun termaktub tentang pemikiran luhur ini yang melibatkan rukun iman, rukun Islam, aspek kehidupan berpolitik, ekonomi, sosial, dan sebagainya. (Mohd. Yusof Hasan, 2000).
 Lahir – Pemikiran lahir pula adalah berkaitan pemikiran yang dibina sejak dalam rahim lagi. Ia berkaitan dengan pembinaan dan pertumbuhan minda manusia semasa berusia enam hari di dalam kandungan sehinggalah berusia enam tahun.Pada peringkat ini harus diaplikasi dan difokuskan kepada aspek pemikiran lahir yang dipercayai dapat menyerlahkan potensi kebijaksanaan minda.
 Logik – Pemikiran logik pula merupakan pemikiran berdasarkan ilmu yang lengkap, memerlukan hujah, bukti, alasan, fakta, dan kebenaran. Melalui ilmu logik, komunikasi manusia akan menjadi lebih berkesan. Pemikiran ini merupakan satu proses penaakulan yang membawa kepada keputusan atau kesimpulan. Setiap proses membuat keputusan haruslah berdasarkan bukti dan hujah yang jelas dan konkrit.
 Lateral – Pemikiran lateral pula merupakan pemikiran yang mengaplikasikan kreativiti, imaginasi dan fakta, bukanlah pemikiran yang bersifat khayalan. (Mohd. Yusof Hasan, 2000). Sebagai manusia, kita memerlukan kreativiti dalam menghasilkan sesuatu yang baharu, menyelesaikan masalah, dan mencari pelbagai alternatif. Golongan yang mempunyai pemikiran lateral biasanya tidak mudah mudah berputus asa dan sentiasa mencari jalan atau alternatif lain.
Sistem Pemikiran Bersepadu 4K (SPB4K)Konsep Pemikiran Kerohanian – Setiap manusia haruslah memikirkan hal-hal berkaitan kejiwaan, keagamaan, kerohanian, soal dalaman berasaskan kepada ajaran kepercayaan agama. Sebagai manusia, kita perlulah beriman kepada soal-soal yang berkaitan ghaib, abstrak berteraskan keimanan. Contohnya bagi orang-orang Islam, mereka wajib percaya dan yakin sepenuh hati terhadap rukun iman, rukun Islam, hukum pahala dan dosa, perkara-perkara berkaitan wajib, sunat, makruh dan haram.
 Konsep Pemikiran Kebitaraan – Sebagai manusia, kita perlulah mempunyai akal fikiran yang bijaksana, cerdik, cemerlang, hebat, berhemah tinggi dan genius. Akal manusia mempunyai fungsi dan peranan, keupayaan dan sistemnya yang tersendiri. Akal manusia dapat dipertingkatkan serta dapat diasuh menjadi cemerlang dan hebat.
 Konsep Pemikiran Kesaintifikan – Sebagai manusia, kita perlu mempunyai pemikiran logik, tepat, berdasarka fakta dan angka. Selain itu kita perlu mempunyai hujah, objektif, dalil dan bukti. Biasanya pemikiran sebegini lebih menggunakan otak kiri yang lebih cenderung terhadap bidang sains, ilmiah, empirikal dan kritikal Kebanyakan ahli sains mempunyai pemikiran ini.
 Konsep Pemikiran Kekreatifan – Sebagai manusia, mereka perlu bersikap lateral, kreatif, inovatif, subjektif, memberi idea serta pendapat yang bersifat estetik dan mempunyai falsafah. Pemikiran ini juga menggunakan otak kanan yang bersifat kesusateraan dan seni. Pemikiran ini akan melahirkan insan yang sensitif, ceria, suka berjenaka, dan optimis dalam kehidupan.
KesimpulanTeori SPB4L dan SPB4K bukanlah sebuah teori yang besar dan tersohor tetapi teori ini digarap, dikembang, dan mencari titik-titik pemantapan dan pemurnian dalam usaha untuk berada di persada jutaan teori pemikiran dan sastera. Teori yang diperkenalkan oleh Mohd. Yusof Hasan bukan sahaja sesuai digunakan dalam bidang sastera semata-mata tetapi boleh digunakan dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan kehidupan. Sebagai manusia, amat penting untuk kita mempunyai pemikiran yang menjurus kepada konsep kerohanian, kebitaraan, kesaintifikan dan kekreatifan.
 Sebagai manusia juga kita sepatutnya mempunyai keempat-empat jenis pemikiran tersebut untuk memandu kita ke arah kehidupan yang sejahtera. Untuk itu kita seharusnya mempunyai kepercayaan agama, minda yang bijak dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan diri, mempunyai kemampuan berfikir secara logik dan benar disertai fakta yang kukuh dan bernas, serta mempunyai kemampuan berfikir secara kreatif.
AnugerahTahun
Bintang Khidmat Masyarakat (B.K.M)1986
Ahli Mahkota Kedah (A.M.K)1998
Tokoh Guru Kedah1998
Ahli Mangku Negara (A.M.N)1998
Dato’ Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K)2000
Gelaran Profesor Emeritus Universiti Pendidikan Sultan Idris2009
Anugerah Buku Terbaik Malaysia (Bidang Tamadun) Minda Melayu Global2014
Anugerah Buku Negara Kategori Buku Umum Terbaik (Tokoh Pendidikan) Awang Had Salleh: Legenda Pendidikan Global Malaysia2019

Perpustakaan Sultanah Bahiyah

Dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah khazanah ilmu ini…..

Marilah kita mencari erti pekerti….
Membina perawakan dan perwatakan
Nasib bangsa, negara dan nusa
Marilah kita membuat perhitungan
Memperkembangkan sains dan sastera….
Marilah kita mencari ceria deria…..
Dengan tidak menzalimi diri sendiri
Pada penentuan kesejahteraan hidup
Kita di sini dan kita di sana

Abad 21 Alaf baru menjelang tiba
Zaman IT Y2K Internet Intranet
Bersama nada nadi virtual, siber dan maya
Memasuki era globalisasi dan pasca modernisma
Bersama Megatrend Asia dan Wawasan Malaysia
Dengan projek raksasa negara
Koridor Raya Multimedia kecanggihan teknologi tinggi
Demi anjakan paradigma dan pemikiran futuristis
Bagi menangani perubahan demi perubahan

Sesungguhnya, demi masa depan penuh cabaran
Perpustakaan Sultanah Bahiyah ini menumpang arus pembangunan
Bersama visi dan misi gagasan negara
Untuk kesejahteraan ummah bersama!
Semoga….. Terbinalah sebuah tugu naluri cintakan ilmu
Di persada negara tercinta
Damailah Perpustakaan Sultanah Bahiyah bertuah ini
Dalam dakapan kasih kemanusiaan
Dalam mencari cinta kesejagatan
Penuh makna kedamaian dan kebahagian bersama.

Nukilan:
Prof. Dr. Mohd Yusuf Hasan

Galeri Foto

Koleksi Buku di Perpustakaan Sultanah Bahiyah

Senarai koleksi buku Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hasan yang boleh didapati di Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Skip to content