INDELIB 2025 ANGKAT INOVASI SEKOLAH KE PERINGKAT TERTINGGI

PSB ONLINE: 6 Oktober 2025 – Projek inovatif bertajuk V-Book 360° hasil ciptaan warga Sekolah Kebangsaan Seri Samudera, Seri Manjung, Perak telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan (Best of the Best) dalam pertandingan International Innovation and Design in Library and Information Science (INDELIB 2025) yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kejayaan ini memperlihatkan potensi besar warga sekolah dalam menghasilkan idea kreatif dan berimpak tinggi, dengan V-Book 360° menampilkan pendekatan baharu dalam penyampaian maklumat dan pembelajaran melalui teknologi realiti maya serta interaktiviti pengguna – selari dengan keperluan pendidikan digital masa kini.

Pertandingan yang berlangsung di Dewan Tan Sri Othman, UUM ini dirasmikan penutupannya oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan. Dalam ucapannya, beliau menyampaikan penghargaan kepada UiTM Cawangan Kedah dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) atas penganjuran edisi ketujuh INDELIB yang berjaya menghimpunkan pelbagai idea inovatif dalam bidang kepustakawanan dan maklumat.

Menurut beliau, INDELIB berperanan sebagai wadah perkongsian ilmu dan inovasi antara pelajar, akademia dan profesional, serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem maklumat negara.

INDELIB 2025 hasil kerjasama strategik antara UiTM Cawangan Kedah dan PSB UUM. Kali ini menyaksikan penyertaan dalam empat kategori utama iaitu:

  • Organisasi                                                                                                           
  • Profesional
  • Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
  • Pelajar Sekolah

Senarai Pemenang Mengikut Kategori:

Organisasi:

  • STAR@GPM
  • Berita Semasa Pulau Pinang (Lapan Sumber Utama Nasional)

Profesional:

  • Tuanku Bainun Library X ChatGPT                                                                             
  • BDA-LibCap
  • Beyond Walls: Transforming TVET Library Engagement

IPTA:

  • BantuBiz
  • Applied History Flip Kit (AHFK)

Sekolah: 

  • V-Book 360°
  • Augmented Reality Microscope (AIM)
  • 2 in 1 EoAeroGuard
  • LibGo!: Knowledge on the Move
  • BIMLI
  • Assistive Distance Measurement
  • Sabun Minyak Terpakai
  • Arabic FunNotes
  • SmartPSS
  • iShelfTrack

INDELIB 2025 bukan sahaja menjadi medan pertukaran idea dan inovasi, malah membuka peluang kerjasama antara institusi pendidikan, penyelidik dan industri dalam memperkukuh bidang reka bentuk maklumat dan kepustakawanan negara.

Turut hadir dalam majlis penutupan ialah Prof. Madya Dr. Mohd Rizaimy Shahrudin, Timbalan Rektor Penyelidikan, Hubungan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM Cawangan Kedah serta barisan pengurusan universiti.

 

Disedikan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Abdul Hadi Taib

News Archive
Skip to content