GOTONG-ROYONG PERDANA EKSA PSB 2026: MEMPERKASA PERSEKITARAN KERJA KONDUSIF

PSB ONLINE: 12 Februari 2026 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan Gotong-Royong Perdana EKSA bertempat di sekitar bangunan PSB. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang ini melibatkan penyertaan penuh semua warga perpustakaan sebagai usaha memperkukuh budaya persekitaran kerja yang bersih, kemas dan kondusif selaras dengan amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).

Program dimulakan dengan sarapan pagi yang disediakan kepada warga PSB. Aktiviti gotong-royong dijalankan mengikut lokasi dan pembahagian kumpulan yang ditetapkan, meliputi kawasan seperti Bilik Serbaguna, Foyer Bangunan Utama, Bilik Loker, Bilik Bacaan Pintar, Foyer Tambahan & Tangga Paras 1, serta kawasan Muzium.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk menyusun atur meja, mengelap cermin, menampal wallpaper, membuang sawang, mengemas tandas, membaiki kerusi atau tirai yang rosak, mengemas surau, memastikan tong sampah mencukupi, serta mengemaskini maklumat pada kabinet display. Setiap kumpulan menjalankan tugas mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan semua ruang berada dalam keadaan teratur, bersih dan selesa untuk kegunaan pelanggan.

Seperti yang digariskan dalam amalan EKSA, program ini bukan sahaja menitikberatkan aspek kebersihan fizikal, malah menggalakkan budaya kerja berpasukan, rasa tanggungjawab serta pemerkasaan ruang kerja kondusif. Kesungguhan dan kerjasama semua warga PSB telah menjayakan gotong-royong ini dengan penuh semangat kekitaan.

Perpustakaan Sultanah Bahiyah merakamkan penghargaan kepada semua staf yang terlibat dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran perpustakaan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content