Menyulam Amal, Alumni Sains Kedah Wakaf Telekung kepada Pengguna PSB

PSB ONLINE:  8 Julai 2026 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima sumbangan 20 pasang telekung lengkap daripada Alumni Sains Kedah 1982 dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di perpustakaan hari ini.

Majlis tersebut dihadiri oleh lapan orang wakil alumni yang menyampaikan sumbangan bagi kegunaan para pengguna perpustakaan. Sumbangan telekung yang lengkap dan sedia digunakan itu bertujuan menambah kemudahan ibadah serta memberi keselesaan kepada warga kampus dan pengunjung PSB.

Menurut wakil Alumni Sains Kedah 1982, Puan Siti Fatimah Ali, sumbangan tersebut merupakan hasil usaha bersama alumni yang sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat.

“Alumni Sains Kedah 1982 terdiri daripada 94 orang ahli, manakala seramai 14 orang daripada kumpulan Northern Region (Ladies) telah bersama-sama menjayakan inisiatif ini. Idea untuk menyumbangkan telekung ini dicetuskan oleh salah seorang alumni kami, iaitu Puan Fazilah. Alhamdulillah, sebanyak 20 pasang telekung lengkap berjaya disumbangkan dan boleh terus digunakan oleh para pengguna Perpustakaan Sultanah Bahiyah,” katanya.

Sementara itu, Puan Mazyana Hashim menyambut baik sumbangan tersebut dan berharap hubungan kerjasama antara perpustakaan dan alumni dapat diperkukuh melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada komuniti.

“Mungkin kita boleh bekerjasama seperti program yang pernah dilaksanakan bersama Klinik Kesihatan Changlun dan PAWE. Program boleh diadakan mengikut topik yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat. Sekiranya ada idea daripada pihak alumni, pihak PSB amat mengalu-alukan cadangan tersebut bagi memperluas program libat urus bersama komuniti,” ujarnya.

Pihak Perpustakaan Sultanah Bahiyah merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Alumni Sains Kedah 1982 atas sumbangan yang bermakna ini. Diharapkan sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna perpustakaan serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak jalinan kerjasama pada masa hadapan.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais

News Archive
Skip to content