Program Meet & Greet PSB-SQS: Platform Libat Urus Strategik Penuhi Keperluan Akademik

PSB ONLINE 15 March 2026 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) terus memperkukuh peranannya sebagai hub rujukan utama universiti menerusi penganjuran program Meet & Greet (Jerayawara) bersama warga akademik dan pengurusan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS). Sesi ini berfungsi sebagai platform libat urus strategik bagi memastikan perkhidmatan perpustakaan sentiasa dinamik dan memenuhi keperluan khusus bidang sains kuantitatif.

Pertemuan yang dihadiri oleh wakil staf akademik dan pengurusan SQS ini telah membincangkan beberapa agenda utama yang menyentuh aspek penyelidikan,  kelestarian rekod dan memori korporat.

Pemerkasaan Penyelidikan Melalui Bengkel WoS

Dalam sesi tersebut, Dekan SQS, Prof Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi memberikan penekanan terhadap kepentingan mengoptimumkan penggunaan pangkalan data Web of Science (WoS) dalam kalangan penyelidik. Menyambut baik saranan tersebut, pihak PSB menyatakan kesediaan untuk menganjurkan bengkel kemahiran maklumat yang lebih khusus bagi membantu warga SQS meningkatkan impak penyelidikan dan kualiti penerbitan di peringkat global.

Inisiatif Arkib: Melestarikan rekod dan memori korporat SQS

Satu lagi cadangan menarik yang diutarakan adalah mewujudkan ruangan atau kotak khas di Arkib PSB untuk tujuan penyimpanan rekod dan memori korporat SQS. Langkah proaktif ini bertujuan untuk memastikan dokumentasi sejarah sekolah tersimpan dengan selamat dan sistematik sebagai rujukan warisan universiti pada masa hadapan.

Komitmen Libat Urus Dua Hala yang Berterusan

Pihak pengurusan SQS menzahirkan rasa penghargaan atas inisiatif turun padang yang dilakukan oleh pihak perpustakaan. Dr. Nerda turut menyatakan bahawa pihak sekolah sangat menanti-nantikan kehadiran pasukan PSB ke SQS bagi sesi libat urus dua hala yang lebih kerap. Kekerapan pertemuan seperti ini dipercayai dapat memastikan setiap sokongan akademik yang ditawarkan oleh PSB dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga SQS.

Siri jerayawara ini merupakan manifestasi komitmen PSB dalam membina sinergi bersama warga universiti demi menjamin ketersediaan perkhidmatan yang sentiasa relevan dengan dinamika akademik masa kini.

Disediakan oleh: Zarith Sofea Zaharin

News Archive
Skip to content