11 STAF PSB TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG

23 April 2018 – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti 2018 (HIMPU) yang telah disempurnakan oleh Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia, Dato’ Seri Amar Diraja Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Osman Aroff.

Majlis ini diadakan bertujuan sebagai pengiktirafan bagi menghargai sumbangan pegawai dan kakitangan khususnya warga UUM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2017. Acara ini merupakan platform terbaik dalam meningkatkan motivasi pekerja ke arah kecemerlangan universiti sekali gus membentuk pekerja yang holistik.

Tan Sri turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Kecemerlangan Khas dan Anugerah Khas dalam ucapan beliau.

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) merupakan antara jabatan yang terdapat di UUM yang kakitangannya turut diraikan sebagai penerima perkhidmatan cemerlang bagi tahun 2017 iaitu seramai 11 orang yang terdiri daripada 4 orang Pustakawan, 6 orang Pembantu Pustakawan dan seorang Pembantu Tadbir.

Majlis yang diadakan khas untuk meraikan kejayaan kakitangan yang cemerlang ini amat bermakna bukan sahaja kepada penerima secara individu tetapi merupakan puncak kejayaan sesebuah organisasi.

Tahniah sekali lagi kepada semua penerima. Semoga penghargaan ini dapat membakar semangat dan motivasi diri untuk terus maju dalam kerjaya serta memberi perkhidmatan yang lebih baik lagi di masa akan datang.

Disediakan oleh : Norashikin Ibrahim

Gambar oleh : Mazyana Hashim dan Mohamad Fuzi Ismail

38total visits,3visits today