301 BUAH BUKU BERJAYA DIREKOD PULANG BANTU LEGAKAN HATI PENGGUNA

Sintok– Sebanyak 301 buah buku telah berjaya direkod pulang ke dalam sistem perpustakaan pada 12 April 2020 yang lalu.

Ekoran terdapat banyak keluhan dan pertanyaan daripada pengguna Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) menerusi platform laman sosial mengenai status pemulangan buku mereka di bookdrop berdekatan PSB dan juga di Inasis , Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa telah mengarahkan beberapa orang staf untuk hadir ke perpustakaan bagi tujuan meredakan keadaan tersebut.

Perkara ini juga dilihat semakin rumit apabila Kerajaan Malaysia pada 10 April 2020 yang lalu telah mengumumkan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 3 sehingga 28 April 2020. Oleh yang demikian, arahan untuk hadir ke pejabat ini dirasakan sesuai untuk dilaksanakan dengan persetujuan pihak pengurusan universiti.

Seawal jam 8.00 pagi, seramai 6 orang staf telah hadir dan memulakan tugasan mereka dengan mengambil dan mengumpul kesemua buku-buku yang telah dipulangkan di semua bookdrop. Buku-buku ini adalah merangkumi pemulangan dalam tempoh PKP Tahap 1 yang bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu sehingga kini.

Setelah itu, staf-staf ini berganding bahu membuat pemulangan buku-buku tersebut dengan merekodkannya ke dalam sistem perpustakaan. Sebanyak 301 buah buku telah berjaya direkodkan pemulangannya.

Urusan ini tamat pada jam 1.00 petang dan semoga semua pengguna PSB dapat berasa lega dan berlapang dada apabila mengetahui buku-buku pinjaman mereka tiada lagi di dalam senarai pinjaman di akaun perpustakaan masing-masing walaupun pihak pengurusan PSB telah membuat hebahan bahawa tiada denda bakal dikenakan sepanjang tempoh PKP dan 2 minggu selepas PKP nanti.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mazyana Hashim