Sudut Sasterawan PSB UUM Jadi Pentas Wacana Pemikiran Agung Shahnon Ahmad

PSB Online, 12 Oktober 2026– Sudut Sasterawan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi menjadi pentas wacana ilmu berimpak tinggi apabila menjadi lokasi penganjuran Program Bicara Inspirasi: Shahnon Ahmad & Majlis Perasmian Penutupan sempena Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026, baru-baru ini.

Program ini juga merupakan kolaborasi strategik antara Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) UUM, PSB UUM dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU). Manakala Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed. Penganjuran di PSB ini bertepatan dengan peranan PSB sebagai pusat rujukan khazanah sastera dan nadi budaya membaca di UUM.

Majlis diserikan dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk “Penyambung Perjuangan” karya Ahmad Salju yang disampaikan oleh Puan Nohalizawati Abd Ghani.

*PSB Sebagai Pentas Mengangkat Khazanah Sasterawan Negara*

Sorotan utama program adalah sesi Bicara Inspirasi yang membedah pemikiran kritis Sasterawan Negara, Allahyarham Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad menerusi dua karya agung beliau.

*Kupasan 1: Novel TIVI oleh Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail*
Beliau menghuraikan bagaimana novel TIVI memaparkan kejutan budaya sesebuah keluarga desa akibat kehadiran televisyen sebagai simbol kemajuan. Menurut beliau, Shahnon Ahmad mengkritik perubahan tingkah laku yang membawa kepada keruntuhan moral serta pertembungan antara nilai tradisional dan nilai kebendaan. Mesejnya jelas, kemajuan perlu diterima secara bersederhana tanpa membiarkan teknologi menguasai diri.

*Kupasan 2: Novel Patriarch oleh Dr. Roslan Chin*
Dr. Roslan Chin pula mengupas novel Patriarch yang mengangkat watak seorang pemimpin dan Perdana Menteri yang berdepan desakan kroni, penyelewengan dan badai politik. Karya ini menggunakan latar imaginatif belantara dan perlambangan alam serta haiwan sebagai metafora kepincangan sosial. Beliau menyarankan pembacaan karya ini melalui pendekatan teori semiotik untuk memahami makna tersirat di sebalik perlambangan yang digunakan.

Penganjuran program di Sudut Sasterawan PSB UUM ini secara tidak langsung memperkukuh peranan PSB sebagai pemangkin budaya ilmu dan pemeliharaan warisan kesusasteraan negara.

Secara keseluruhan, program ini telah mencapai objektifnya dalam menyemarakkan sambutan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 serta mengangkat semula khazanah sastera tempatan untuk dihayati generasi masa kini.

Disediakan oleh: Zarith Sofea Zaharin
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais

News Archive
Skip to content