PSB ONLINE, 14 Julai 2025 – Semangat gotong-royong dan nilai warisan budaya Melayu-Islam terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Bubur Asyura 2025 anjuran Badan Kebajikan dan Amal Perpustakaan Sultanah Bahiyah (BAKAL). Program yang bermula seawal pukul 8.30 pagi ini menghimpunkan seramai 33 ahli BAKAL yang hadir bagi menjayakan aktiviti memasak bubur Asyura secara bergotong-royong.
Majlis diketuai oleh En. Norhardi Saad, Pengerusi BAKAL, dan turut diserikan dengan kehadiran Prof. Dr. Che Azlan Taib, Ketua Pustakawan PSB merangkap Penaung BAKAL, yang turun padang menyantuni ahli BAKAL serta memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran program tahunan ini.

Program memasak bubur Asyura ini bukan sekadar aktiviti kebajikan, malah turut menjadi wadah merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kerja dari pelbagai unit dan bahagian di PSB, bersempena sambutan Awal Muharam.
Bubur Asyura merupakan sajian tradisional yang lazimnya disediakan oleh masyarakat Islam di Malaysia sempena 10 Muharam, iaitu Hari Asyura dalam kalendar Hijrah.
Bubur Asyura versi utara yang disediakan menggunakan pelbagai ramuan seperti kekacang, jagung, ubi keledek, santan, rempah, tepung dan beras, dimasak secara bergilir oleh para peserta dalam kawah besar.
Sepanjang proses memasak, para peserta saling membantu dalam penyediaan bahan dan mengacau bubur sambil berinteraksi dalam suasana mesra dan harmoni. Walaupun cuaca agak panas, semangat kerjasama yang ditonjolkan amat membanggakan.
Setelah bubur siap dimasak, ia diagihkan kepada semua warga kerja PSB dan sebahagian daripadanya turut disumbangkan kepada pihak luar sebagai tanda penghargaan serta mengeratkan lagi jalinan hubungan yang sedia terjalin.
Menurut En. Norhardi Saad, program ini mencerminkan bahawa aktiviti kebajikan sebegini berperanan penting dalam membina hubungan yang erat dalam kalangan staf PSB, khususnya ahli-ahli BAKAL.
“BAKAL amat berbangga dengan sambutan hangat daripada warga PSB. Semangat yang ditunjukkan oleh semua mencerminkan nilai murni yang perlu sentiasa dipupuk dalam sesebuah organisasi. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan penghargaan kepada para peserta.

Kehadiran Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib, turut menjadi pemangkin semangat kepada semua ahli BAKAL. Beliau menzahirkan penghargaan atas komitmen yang ditunjukkan dan menyarankan agar nilai kebersamaan serta semangat kerja berpasukan seperti ini terus disuburkan dalam budaya kerja harian warga PSB.
Program berakhir sekitar pukul 12.35 tengah hari dengan penuh rasa syukur, dan jelas terpancar kepuasan dalam kalangan peserta yang bukan sahaja menyumbang tenaga, bahkan turut membawa pulang pengalaman bermakna hasil kerjasama dan semangat kekitaan.
Para petugas kebersihan dari Uniutama Property Sdn. Bhd. (UPSB) serta penerima sumbangan daripada kalangan ahli BAKAL turut menyampaikan penghargaan atas inisiatif murni ini. Ia bukan sahaja menyegarkan kembali amalan tradisi, malah mencerminkan keprihatinan BAKAL PSB terhadap komuniti sekeliling.
BAKAL dan PSB merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga aktiviti seumpama ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang memperkukuh budaya harmoni dan kebajikan dalam organisasi.



Disediakan oleh : Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh : Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail