PSB ONLINE, 21 Julai 2025 – Seramai lebih 20 pegawai yang terdiri daripada Penolong Pustakwan dan Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri satu sesi taklimat khas berkaitan Springer Nature yang diadakan pada 16 Julai 2025 (Rabu), bertempat di Makmal Komputer 1, PSB.
Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Mr. Kent Yeap, Licensing Manager, Malaysia & Brunei bagi Springer Nature, dan turut disertai dua orang wakil dari Institut Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), UUM.

Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman berkaitan akses sumber akademik, penerbitan terbuka (Open Access) serta strategi memilih jurnal berimpak tinggi dalam dunia penerbitan ilmiah.
Sepanjang sesi, para peserta diberi pendedahan mengenai peranan Springer Nature sebagai penerbit global yang menerbitkan ribuan jurnal akademik berkualiti tinggi, termasuk jenama terkemuka seperti Nature Portfolio, SpringerOpen, dan BioMed Central (BMC).
Taklimat turut menyentuh perkembangan semasa berkaitan penyelidikan terbuka serta akses sumber elektronik menerusi platform seperti springer.com dan nature.com, yang dilanggan oleh universiti awam secara kolektif melalui Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KONSEPT).
Mr. Kent Yeap dalam pembentangannya menekankan kepentingan peranan pustakawan sebagai rakan strategik penyelidik dalam membantu mengenalpasti saluran penerbitan yang bersesuaian dan berimpak tinggi.

Para peserta turut mengambil peluang mengemukakan soalan berkaitan kebolehaksesan jurnal, pemilihan penerbit, serta strategi meningkatkan visibiliti hasil penyelidikan melalui saluran digital.
Wakil RIMC turut menyambut baik inisiatif ini yang dilihat selari dengan usaha memperkasa penyelidikan universiti ke arah pengiktirafan bertaraf antarabangsa.
Program ini secara keseluruhan telah memberi gambaran menyeluruh kepada peserta berkaitan pendekatan terkini dalam dunia penerbitan ilmiah, dan diharap dapat dimanfaatkan dalam pembangunan kapasiti dalaman perpustakaan universiti.
Disediakan oleh: Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail