PSB ONLINE, 6 Ogos 2025 – Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuh komitmen terhadap pembudayaan ilmu menerusi pelaksanaan Program #Telaah Peringkat Kebangsaan 2025, selari dengan aspirasi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk membentuk masyarakat berilmu dan berbudaya tinggi.
Program berkenaan dilaksanakan bersempena Majlis Perhimpunan Bulanan Staf UUM yang berlangsung di Komplek Konvensyen, melibatkan pengisian berfokuskan ilmu, wacana akademik dan pemerkasaan budaya membaca dalam kalangan warga universiti.
Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, dalam ucapannya menekankan bahawa amalan membaca dan menelaah merupakan elemen asas kepada kekuatan intelektual sesebuah institusi pengajian tinggi.
“Membaca harus menjadi amalan harian. Ia merupakan proses pembinaan diri, penghayatan minda dan pemerkasaan nilai. Dalam era maklumat yang serba pantas, hanya mereka yang rajin membaca dan menelaah akan mampu membezakan maklumat daripada ilmu, serta pendapat daripada kebenaran,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas sokongan terhadap inisiatif ini serta menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan Program #Telaah akan memperkasa nilai keilmuan dan mendorong keterlibatan intelektual yang lebih tinggi dalam kalangan warga kampus.
Menurutnya, pembudayaan membaca bukan sekadar pengisian waktu lapang, sebaliknya menjadi asas kepada pembentukan pemimpin berwibawa, warganegara yang kritis, dan masyarakat yang matang dalam membuat pertimbangan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi Podcast #Telaah, yang menjadi tumpuan utama program kali ini. Podcast tersebut mengetengahkan perbincangan ilmiah berasaskan buku “Prospect of Electoral Reform in Malaysia”, hasil penulisan Profesor Dr. Azizuddin Mohd Sani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, bersama Amerul Muner Mohammad, G. Manimaran, Noor Sulastry Yurni Ahmad dan Khoo Ying Hooi.


Perbincangan tersebut dikendalikan oleh Profesor Dr. Che Azlan Taib, Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM, yang bertindak sebagai moderator. Sesi podcast berkenaan disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (Official FB) dan saluran YouTube UUMTV, membolehkan warga kampus serta masyarakat umum mengikuti dan menghayati wacana tersebut secara maya.
Perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan kritikal itu menyentuh pelbagai isu berkaitan reformasi sistem pilihan raya, cabaran ketelusan demokrasi serta keperluan kepada pembaharuan fungsi kerja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang lebih telus dan berwibawa. Kandungan buku yang dibincangkan turut mengetengahkan dapatan penyelidikan dan analisis politik semasa yang relevan kepada landskap demokrasi negara.
Mohd Fo’ad turut menegaskan bahawa Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) perlu memainkan peranan aktif sebagai pusat pembangunan budaya ilmu, di samping menyediakan ruang dan peluang kepada warga kampus untuk terus membaca, menelaah serta mencetuskan wacana intelektual.
“Setiap tamadun yang besar pasti berkait rapat dengan kewujudan gedung ilmu yang hebat dan menjadi pusat pemikiran, penyelidikan dan peradaban sesuatu bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata, UUM komited untuk terus menjadi peneraju dalam gerakan ilmu negara menerusi pelbagai inisiatif strategik, dan program seperti #Telaah bukan sekadar simbolik tetapi bersifat transformasi dalam membina budaya akademik yang mampan.
Katanya lagi, perpustakaan, pensyarah, pelajar dan seluruh komuniti universiti perlu berganding bahu menjadikan budaya membaca dan menelaah sebagai nadi pembangunan UUM sebagai universiti pengurusan terunggul.
Program #Telaah merupakan antara inisiatif nasional yang digerakkan oleh KPT, hasil cetusan idea Perdana Menteri sendiri, yang sejak sekian lama dikenali sebagai tokoh yang menjunjung tinggi nilai keilmuan dan budaya membaca.

Disediakan oleh : Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh : Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail