TELAAH: BEDAH BUKU PSB ANGKAT KARYA STEPHEN R. COVEY

PSB ONLINE: 14 Ogos – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan usaha memperkukuh budaya ilmu melalui program Telaah: Bedah Buku Bersama PSB yang diadakan di Sudut Sasterawan Negara,PSB pagi ini.

Program yang bermula jam 8.30 pagi itu menampilkan Puan Rahimah Ishak sebagai penceramah utama dengan mengupas karya tersohor tulisan Stephen R. Covey berjudul “Utamakan yang Utama” (First Things First). Buku tersebut menjadi rujukan global dalam bidang pengurusan masa, pembangunan diri, dan kepimpinan.

Dalam pembentangannya, Puan Rahimah menegaskan bahawa mesej utama buku ini ialah pentingnya memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar bernilai dalam kehidupan. “Kita sering sibuk dengan perkara mendesak, sehingga kadangkala mengabaikan perkara penting dalam menentukan hala tuju hidup kita,” jelasnya.

Beliau turut menekankan konsep ‘jam dan kompas’ yang diperkenalkan oleh Covey, iaitu perbandingan antara mengurus masa dengan sekadar memenuhi jadual dan mengurus hidup berdasarkan hala tuju serta nilai. “Kompas membawa kita ke destinasi sebenar. Jika kita hanya ikut jam, kita mungkin cepat sampai tetapi tidak ke arah yang betul,” katanya.

Selain itu, Puan Rahimah mengupas prinsip bahawa produktiviti sejati bukanlah pada kuantiti kerja yang dilakukan, tetapi pada kualiti keputusan yang dibuat. “Apa yang Covey tekankan ialah keberanian untuk mengatakan ‘tidak’ kepada perkara yang kurang penting, supaya kita boleh berkata ‘ya’ kepada yang benar-benar utama,” tambah beliau.

Buku tersebut juga memperincikan Matriks Keutamaan yang membahagikan aktiviti kepada empat kuadran – mendesak dan penting, penting tetapi tidak mendesak, mendesak tetapi tidak penting, serta tidak mendesak dan tidak penting. Melalui matriks ini, pembaca digalakkan menumpukan pada kuadran kedua, iaitu aktiviti yang penting tetapi tidak mendesak, kerana di situlah letaknya punca keberkesanan jangka panjang.

Menurut Puan Rahimah, pengajaran ini sangat relevan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian warga universiti, sama ada dalam urusan akademik mahupun pentadbiran.

“Kita perlu mula menilai semula aktiviti seharian kita. Adakah masa kita benar-benar digunakan untuk perkara yang membina masa depan, atau sekadar memenuhi desakan tugasan harian?” soalnya kepada hadirin.

Majlis turut dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Facrol Zikmi Amdah, yang diharapkan memberi keberkatan kepada perjalanan program. Sesi telaah berlangsung dalam suasana santai tetapi penuh penghayatan, apabila peserta memberi tumpuan kepada setiap huraian yang dibawa.

Program ini merumuskan bahawa karya Stephen R. Covey bukan sekadar buku pengurusan masa, tetapi sebuah panduan hidup yang menekankan kepentingan menilai semula keutamaan, agar masa dan tenaga digunakan untuk perkara yang benar-benar memberi makna dalam kehidupan.

Disediakan oleh : Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh : Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content