Naib Canselor & Pendaftar UUM Dorong Transformasi Perpustakaan Sultanah Bahiyah

PSB ONLINE, 19 Ogos 2025 – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan bersama Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan semasa perpustakaan di Universiti Utara Malaysia. Selain mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pustakawan dan barisan pustakawan yang menjadi tulang belakang kepada pengurusan sumber ilmu di UUM.
Dalam sesi perbincangan, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad meneliti carta organisasi perpustakaan dan memberikan pandangan mengenai hala tuju strategik institusi ilmu itu. Beliau menekankan kepentingan memastikan struktur organisasi yang mantap supaya setiap fungsi perpustakaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.

Naib Canselor turut mencadangkan agar perpustakaan memperluaskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi dan perkhidmatan kepada pengguna. Menurut beliau, integrasi teknologi terkini seperti ChatGPT dan Gemini yang telah dinaik taraf berupaya meningkatkan keberkesanan pengurusan maklumat serta memudahkan capaian pelajar dan penyelidik.
“Penggunaan teknologi AI bukan sahaja mampu mempercepatkan proses carian maklumat, malah dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran warga universiti. Perpustakaan perlu bergerak seiring dengan perkembangan global agar kekal relevan dan kompetitif,” katanya.

Beliau menegaskan, langkah memperkenalkan aplikasi AI dalam perkhidmatan perpustakaan adalah sebahagian daripada strategi UUM untuk mendepani cabaran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan seterusnya mempersiapkan universiti menghadapi era digitalisasi pendidikan tinggi .

Sementara itu, Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah turut memberikan saranan kepada warga pustakawan. Beliau mengingatkan agar peranan pustakawan tidak tenggelam dalam arus kemajuan teknologi, sebaliknya terus diperkukuh melalui mempergiatkan promosi dan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan.
“Pustakawan perlu dilihat sebagai rakan ilmu yang boleh membimbing pelajar dan pensyarah dalam mengakses, menilai serta menggunakan maklumat dengan lebih bijak. Usaha memperkenalkan perkhidmatan baharu perlu seiring dengan promosi yang berkesan supaya masyarakat kampus sentiasa menyedari kepentingan pustakawan,” ujarnya.

Lawatan ini secara keseluruhan mencerminkan komitmen pengurusan tertinggi UUM dalam memastikan perpustakaan bukan sahaja menjadi gedung ilmu, tetapi juga pusat inovasi yang mendukung kecemerlangan akademik universiti. Perpustakaan Sultanah Bahiyah diyakini mampu terus berkembang sebagai rujukan utama ilmu pengetahuan serta menjadi peneraju dalam penerapan teknologi baharu dalam dunia kepustakawanan.

Disediakan oleh : Nur Alia Natasya Mohd Azizul Helmi
Pelajar Latihan Industri
Diploma Pengurusan Maklumat, UiTM Kelantan
Gambar oleh : Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content