
PSB ONLINE, 4 September 2025 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan Program Bedah Buku siri ke-21 yang diadakan di Sudut Sasterawan Negara PSB. Program ini bertujuan untuk memperkaya pengetahuan para peserta melalui penghayatan karya ilmiah yang membicarakan tentang tokoh agung umat Islam, Nabi Muhammad SAW.
Sesi kali ini menampilkan Puan Noorfauziati Mat Yatim, pustakawan PSB membicarakan buku karya Dr. Syed Alwi Alatas, seorang pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia yang berjudul Utusan Terakhir: Ikhtisar Sirah Kehidupan Rasulullah SAW. Buku tersebut mendapat perhatian kerana menyentuh aspek penting dalam memahami perjalanan hidup serta keperibadian Rasulullah SAW.
Program yang bermula pada jam 8:30 pagi itu mendapat sambutan baik daripada warga perpustakaan. Kehadiran peserta membuktikan minat yang mendalam terhadap pengisian ilmiah, khususnya yang berkaitan dengan sirah Nabi Muhammad SAW.
Pemilihan buku ini amat bertepatan sementelah program ini diadakan sehari sebelum sambutan Maulidur Rasul yang disambut pada 5 September. Hal ini menambahkan lagi nilai signifikan program tersebut, sekali gus menjadi pengisian bermakna sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Buku yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. ini mengisahkan dengan terperinci tentang perjalanan hidup Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah Islam dan isi kandungannya disusun secara kronologi bermula dari sebelum kelahiran sehingga kewafatan Baginda. Ia merangkumi episod penting seperti Israk Mikraj, hijrah, peperangan, dakwah kepada pemerintah, Perjanjian Hudaibiyah dan penaklukan Mekah. Selain itu, ia bukan sahaja memaparkan kisah dakwah, malah menggambarkan keperibadian Baginda yang penuh rahmah dan kasih sayang terhadap umat manusia.
Antara sifat mulia Rasulullah SAW yang dijelaskan dalam buku tersebut adalah amanah, siddiq, tabligh, dan fatonah. Keempat-empat sifat ini merupakan ciri kepemimpinan sejati yang telah membimbing umat Islam ke jalan yang benar. Penerapan sifat tersebut menjadi contoh terbaik dalam kehidupan seharian umat Islam.
Dalam penyampaiannya, Puan Noorfauziati menekankan kepentingan umat Islam mencontohi keperibadian Rasulullah SAW. Menurut beliau, hanya dengan menjadikan Baginda sebagai teladan utama, umat Islam dapat membina jati diri yang berakhlak mulia serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Beliau turut mengingatkan para ibu bapa agar menitikberatkan pendidikan agama kepada anak-anak sejak kecil lagi. Penekanan terhadap aspek kerohanian dan akhlak akan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah seimbang dari sudut rohani. Sebagai penutup, beliau mengajak para peserta untuk berselawat bersama-sama.
Program ini secara tidak langsung dapat membuka minda para peserta tentang sirah Rasulullah SAW secara menyeluruh. Selain itu, ia juga dapat memberikan kesedaran kepada para peserta tentang kepentingan pengamalan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Secara keseluruhannya, Program Bedah Buku kali ini berjaya mengangkat karya ilmiah yang sarat dengan pengajaran di samping menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan umat Islam. Program seumpama ini wajar diteruskan dari masa ke semasa bagi memperkukuh budaya ilmu dan penghayatan sirah dalam masyarakat.

Disediakan oleh: Aina Syafariza Marzuki
Pelajar Latihan Industri,
Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais