LAWATAN PENANDAARASAN PSB-KVSP2 TINGKATKAN PEMAHAMAN PERANAN PERPUSTAKAAN DALAM PENDIDIKAN

PSB ONLINE: Pada 1 Oktober 2025 (Rabu), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan lawatan penandaarasan daripada Kolej Vokasional Sungai Petani 2 (KVSP2). Lawatan tersebut telah berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 1.00 petang dengan kehadiran seramai 10 orang pensyarah.

Ketibaan para tetamu bermula pada jam 10.00 pagi di foyer PSB sebelum di bawa terus ke Makmal Komputer 1 sebagai permulaan sesi lawatan. Sarapan pagi turut disediakan kepada semua tetamu serta staf yang terlibat bermula jam 10.05 hingga 10.30 pagi.

Selesai sesi santai tersebut, program dimulakan dengan Slot 1 iaitu pengenalan mengenai PSB, kemudahan serta perkhidmatan yang disampaikan oleh Puan Fadzilah Hussin dari Unit Sokongan Petikan Jurnal & Indeks, PSB. Beliau menayangkan video montaj berkenaan PSB secara menyeluruh supaya para tetamu mendapat gambaran menyeluruh mengenai bangunan PSB. Perkongsian ini memberi gambaran umum mengenai ruang-ruang serta kemudahan yang terdapat di dalam PSB.

Slot 2 yang berlangsung pada jam 10.40 pagi turut disampaikan oleh Puan Fadzilah Hussin dengan memberi fokus kepada laman sesawang Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Fungsi laman sesawang perpustakaan adalah untuk memudahkan pengguna dalam mengakses maklumat koleksi dan sumber elektronik, memaparkan maklumat perkhidmatan perpustakaan, menyampaikan hebahan maklumat dan aktiviti yang dijalankan oleh pihak perpustakaan dan berfungsi sebagai sokongan pembelajaran dan penyelidikan. Penerangan ini memaparkan pelbagai akses kemudahan digital yang disediakan untuk pengguna.  

Seterusnya, pada jam 10.50 pagi, slot 3 diteruskan dengan perkongsian oleh Puan Wan Hanis Kamarruddin dari Unit Promosi dan Akademik / Komuniti, PSB berhubung aktiviti promosi yang dijalankan di PSB. Aktiviti mempromosikan perpustakaan ini bertujuan untuk menarik perhatian para pelajar UUM khususnya untuk berkunjung ke PSB. Di antara aktiviti promosi yang telah dijalankan oleh PSB ialah program ‘Free Breakfast’ iaitu dengan memberikan nasi lemak dan teh o panas secara percuma kepada 50 atau 100 orang pengguna perpustakaan yang terawal. Secara keseluruhannya, sesi ini memberi pendedahan tentang usaha perpustakaan dalam mempromosikan sumber dan perkhidmatan kepada warga kampus.

Slot 4 pula menampilkan Puan Norihan Anah daripada Seksyen Data Penyelidikan dan Akreditasi membentangkan mengenai perolehan koleksi perpustakaan pada jam 11 pagi. Beliau menerangkan tentang strategi PSB dalam memastikan akses digital yang luas dan terkini kepada pengguna serta menerangkan proses-proses perolehan bahan di perpustakaan seperti proses perolehan buku perpustakaan, buku elektronik dan pangkalan data maklumat. Di samping itu, beliau juga memaparkan laman sesawang syarikat penerbitan terkemuka seperti Wiley dan Pearson. Kedua-duanya berperanan penting dalam menyediakan bahan pendidikan dan penyelidikan, sama ada dalam bentuk bercetak mahupun digital. Selain itu, Wiley dan Pearson juga bekerjasama dengan institusi pendidikan bagi menyokong perkembangan ilmu pengetahuan serta menyediakan akses kepada platform pembelajaran moden yang membantu pelajar, pendidik, dan penyelidik meningkatkan pencapaian akademik dan kerjaya.

Seterusnya, pada jam 11.10 pagi, Encik Ku Rosyidi Ku Md Razi dari Unit Pengurusan Penerbitan & Insentif, PSB mengambil alih Slot 5 dengan berkongsi mengenai penyediaan akreditasi MQA Bidang 5. Perkongsian ini memberi manfaat kepada para pensyarah KVSP2 dalam memahami peranan perpustakaan dalam proses akreditasi. Perpustakaan berperanan penting dalam proses akreditasi dengan menyediakan koleksi rujukan yang mencukupi, relevan dan terkini bagi menyokong kurikulum serta penyelidikan. Ia juga menawarkan akses kepada sumber elektronik, kemudahan pembelajaran kondusif, serta latihan literasi maklumat kepada pelajar dan pensyarah. Peranan ini memastikan keperluan akademik dipenuhi sekaligus menyumbang kepada pencapaian akreditasi yang berkualiti.

Slot 6 pada jam 11.20 pagi pula dikendalikan oleh Puan Siti Suriyani Muhamad dari Unit Pengurusan Koleksi, PSB yang memberi penerangan mengenai proses penyusunan buku di rak. Slot ini turut menjadi asas penting dalam memastikan koleksi mudah dicapai oleh pengguna. Sebagai contoh, beliau menerangkan tentang kepentingan penggunaan nombor panggilan atau ‘call number’ pada setiap buku perpustakaan supaya setiap buku dapat disusun dengan betul dan dikelaskan mengikut jenis-jenisnya. Beliau juga menerangkan teknik susunan bahan di rak iaitu secara mengikut abjad dari kiri ke kanan.

Lawatan kemudian diteruskan dengan Slot 7 hingga Slot 9 yang melibatkan aktiviti tinjauan lapangan di sekitar PSB. Antara yang dilaksanakan termasuk lawatan ke rak Koleksi Umum bagi memberi gambaran sebenar cara penyusunan buku mengikut ‘call number’ dengan betul, demonstrasi sistem Sierra di Kaunter Perkhidmatan Pelanggan, pencarian buku menggunakan OPAC serta sesi lawatan perpustakaan secara menyeluruh. Sistem Sierra di PSB digunakan untuk mengurus perolehan, pengkatalogan, sirkulasi pinjaman, serta inventori koleksi. Ia juga membolehkan staf mengurus rekod pengguna dan laporan, manakala pengguna dapat mencari bahan, menyemak status pinjaman, serta membuat tempahan atau pembaharuan secara dalam talian. Sistem ini meningkatkan kecekapan operasi dan memudahkan akses maklumat.

Secara keseluruhannya, lawatan penandaarasan daripada Kolej Vokasional Sungai Petani 2 ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berlangsung dengan jayanya dan mencapai objektif yang ditetapkan. Para pensyarah yang hadir bukan sahaja mendapat pendedahan mengenai fungsi, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di PSB, malah turut memahami peranan penting perpustakaan dalam menyokong pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta proses akreditasi akademik. Melalui slot perkongsian, demonstrasi sistem, dan sesi lawatan lapangan, para tetamu dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana pengurusan perpustakaan dijalankan secara sistematik, efisien, dan mesra pengguna. Lawatan ini diharapkan dapat memberi manfaat sebagai rujukan dan amalan terbaik kepada pihak Kolej Vokasional Sungai Petani 2 dalam memperkukuhkan fungsi perpustakaan mereka.

Disediakan oleh: Aina Syafariza Marzuki
Pelajar Latihan Industri,
Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content