SANTUN PROFESOR WARNAI HARI TERBUKA PPKK CHANGLUN PERKASA KESIHATAN, JIWA & KOMUNITI

PSB ONLINE: Changlun, 11 Disember 2025 – Klinik Kesihatan Changlun meriah dengan Hari Terbuka Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) 2025, hasil kerjasama Klinik Kesihatan, Klinik Pergigian, Kelab Warga Emas Changlun, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) sebagai usaha memperkasa kesihatan, kesejahteraan jiwa dan jaringan komuniti warga emas setempat.

Slot ceramah pertama, Santun Profesor bertajuk “Menyingkap Perjalanan Minda dan Jiwa di Usia Emas” disampaikan oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid, Pengerusi Majlis Profesor UUM (MPUUM). Beliau menginspirasikan warga emas dan generasi muda untuk memanfaatkan “hari emas” dengan niat baik, amalan positif, dan menjaga hubungan mesra sesama insan.

Slot ceramah seterusnya disampaikan oleh Dr. Aqilah Salmi Abdul Salam yang menekankan kepentingan gigi sihat, pemeriksaan berkala dan manfaat pengecualian bayaran untuk warga emas di klinik kerajaan.

Hari Terbuka PPKK ini turut menampilkan pertandingan memasak dan mewarna, pemeriksaan gigi, derma darah, cabutan bertuah serta kaunter pameran daripada pelbagai agensi dan pertubuhan komuniti.

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Dr. Mohd Hisham Ahmad Kusairi, Pegawai Kesihatan Daerah Kubang Pasu yang menekankan kepentingan kerjasama komuniti dan agensi kesihatan untuk memperkasa kesejahteraan warga emas.

Hari Terbuka PPKK 2025 kali ini turut memperlihatkan sinergi agensi, institusi pendidikan, dan komuniti serta menyeru masyarakat memanfaatkan setiap hari demi kesejahteraan jasmani, rohani, dan sosial.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Disunting oleh: Wan Hanis Kamarruddin
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content