JALINAN KERJASAMA PSB-SLCP PERKUKUH PENGURUSAN DATA DAN PEMBANGUNAN KOLEKSI HISTORIOGRAFI KEDAH

PSB ONLINE: 12 Januari 2026 –Usaha memperkukuh dokumentasi sejarah dan warisan negeri Kedah terus dipacu apabila Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) mengadakan sesi jalinan kerjasama strategik bersama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Sesi yang menghimpunkan 8 orang ahli Jawatankuasa Historiografi Kedah PSB serta 11 orang pensyarah SLCP, termasuk Dekan dan Timbalan Dekan, itu bertujuan menyelaras kerjasama ilmiah serta memperincikan hala tuju pembangunan Koleksi Historiografi Kedah sebagai usaha penting dalam memelihara sumber sejarah negeri untuk rujukan penyelidik dan masyarakat.

Sesi perbincangan dimulakan dengan ucapan aluan Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib, yang menekankan keperluan kerjasama rentas disiplin antara perpustakaan dan pusat pengajian bagi memastikan sumber sejarah dikumpul dan didokumentasikan secara sistematik. Menurutnya, SLCP mempunyai kepakaran yang penting dalam aspek bahasa, sejarah, tamadun dan falsafah, menjadikan pusat pengajian itu rakan strategik utama kepada PSB.

Sepanjang sesi perbincangan, wakil kedua-dua pihak diberikan penerangan mengenai latar belakang inisiatif Historiografi Kedah, diikuti pembentangan mengenai perancangan pembinaan koleksi, termasuk strategi pengumpulan bahan, pembangunan metadata sejarah serta usaha pendigitalan sumber warisan.

Turut dibincangkan ialah potensi kerjasama dalam aspek Pengurusan Data Penyelidikan (Research Data Management), yang dilihat mampu memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti melalui penyelarasan standard dan perkongsian kemahiran antara kedua-dua pihak.

Hasil perbincangan tersebut, beberapa cadangan tindakan susulan telah dikenal pasti, termasuk penyelidikan bersama, penyediaan pangkalan data sejarah Kedah yang lebih komprehensif serta pelaksanaan siri bengkel dan sesi ilmu bagi memperkukuh kepakaran.

Sesi berakhir dengan komitmen kedua-dua pihak untuk merangka pelan jangka panjang demi memastikan pembangunan koleksi Historiografi Kedah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berimpak dan sejajar dengan kedudukan UUM sebagai universiti peneraju dalam pengurusan dan penerbitan ilmu.

 

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content