TELAAH: BEDAH BUKU BERSAMA PSB ANGKAT PEMIKIRAN TOKOH DALAM TOKOH AGUNG MELAYU

PSB ONLINE, 8 Januari 2026 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan program Telaah: Bedah Buku Bersama PSB dengan menampilkan buku Tokoh Agung Melayu sebagai bahan perbincangan utama. Program ini berlangsung di Sudut Telaah, Paras 3, Bangunan Utama PSB bermula jam 8.30 pagi dan disertai oleh warga kampus.

Program telaah buku ini dimoderatorkan oleh Wan Hanis Kamurrudin, Pustakawan PSB UUM, manakala sesi pengulasan buku telah disampaikan oleh Nurien Hazwawi Ahmad Rafidi, pelajar latihan industri di PSB. Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Muhammad Farhan Abu Bakar, Pembantu Pustakawan PSB UUM, sebelum perbincangan ilmiah berlangsung.

Perbincangan memberi tumpuan kepada kandungan buku Tokoh Agung Melayu yang menghimpunkan kisah tokoh-tokoh Melayu terbilang serta sumbangan mereka dalam membentuk tamadun, pemikiran dan kepimpinan bangsa. Buku ini menekankan bahawa ketokohan seseorang tokoh Melayu tidak hanya dinilai melalui kedudukan atau pengaruh, tetapi melalui kebijaksanaan, keilmuan dan keutuhan nilai yang dibawa.

Menurut huraian buku tersebut, tokoh-tokoh agung Melayu berperanan sebagai pencetus perubahan masyarakat dengan berpaksikan ilmu, adab dan tanggungjawab sosial. Nilai kepimpinan beretika, kebolehan membuat keputusan dengan hikmah serta kesediaan berkhidmat kepada masyarakat merupakan antara tema utama yang diketengahkan dalam buku ini.

Perbincangan turut mengulas pandangan buku yang menekankan kepentingan menjadikan sejarah dan tokoh terdahulu sebagai sumber teladan, bukan sekadar catatan masa lalu. Nilai dan pemikiran yang diketengahkan dilihat masih relevan dan boleh diaplikasikan dalam membentuk jati diri, kepimpinan serta pemikiran kritis generasi masa kini.

Sepanjang sesi, para peserta turut diberi peluang mengemukakan soalan dan pandangan melalui sesi interaksi bersama pengulas. Pendekatan ini menggalakkan pembacaan secara kritis serta membantu peserta memahami kandungan buku dalam konteks semasa dan keperluan masyarakat hari ini.

Secara keseluruhan, penganjuran program Telaah: Bedah Buku Bersama PSB ini mencerminkan komitmen Perpustakaan Sultanah Bahiyah dalam memperkukuh budaya ilmu dan wacana intelektual di Universiti Utara Malaysia, selari dengan usaha melahirkan warga kampus yang berpengetahuan, berfikiran kritis serta menghargai warisan intelektual bangsa.

Disediakan oleh: Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content