PSB ONLINE, 4 Disember 2025 – Program Bedah Buku bertajuk “Beauty of Trauma” karya Jung Yeoul telah berlangsung pada jam 8.30 pagi di Auditorium 1 PSB dengan kehadiran staf PSB. Sesi ini menampilkan pengulas buku Aina Syafariza Marzuki, pelajar latihan industri, yang mengupas mesej mendalam tentang bagaimana trauma bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada proses pemulihan dan pertumbuhan diri.
Dalam pembentangan, Aina Syafariza menekankan bahawa buku ini mengajak pembaca untuk memahami bahawa setiap luka membawa makna. Penulis Jung Yeoul menyoroti konsep inner child, iaitu bahagian diri yang menyimpan memori dan emosi masa lalu. Menurut beliau, kita sering mengabaikan suara kecil ini, sedangkan ia memerlukan perhatian dan kasih sayang untuk sembuh. Seperti yang digariskan dalam buku, kita “berhak untuk sembuh dan berdamai dengan masa lalu”. 
Antara bab penting yang dibincangkan termasuk:
- Rahsia Proses Kematangan Diri – Mengupas bagaimana pengalaman pahit membentuk kekuatan dan kematangan.
- Konfrontasi dengan Inner Child – Menjelaskan pentingnya berani berhadapan dengan luka lama agar tidak diwarisi kepada generasi seterusnya.
- Ilmu Psikologi untuk Mereka yang Sihat – Memberi panduan bagaimana pemahaman psikologi membantu proses pemulihan.
- Keindahan Proses Pendewasaan yang Hilang – Mengajak pembaca melihat penderitaan sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju kebahagiaan.
Aina turut menekankan mesej utama buku ini: “Setiap luka adalah pintu kepada cahaya yang baharu”, yang mengingatkan kita bahawa trauma bukan kelemahan, tetapi peluang untuk membina semula diri dengan lebih kuat.
Program ini diakhiri dengan perkongsian pengalaman beliau berkenaan inner child yang dihadapi sejak kecil sehingga dewasa. Program ini diharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk menghargai proses penyembuhan dan keberanian menghadapi masa lalu.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail
