PSB ONLINE: 29 September 2025 – “Zakat bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi alat strategik untuk pembangunan ekonomi ummah,” tegas Prof. Dr. Selamah Maamor ketika membicarakan buku beliau bersama rakan penulis bertajuk “Zon Pembangunan Ekonomi Ummah” dalam program Telaah: Bedah Buku Bersama PSB anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini menampilkan Prof. Dr. Selamah Maamor dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM sebagai pembicara utama, dengan Pn. Siti Norain Ismail sebagai moderator yang mengendalikan sesi secara interaktif dan menarik.
Dalam perkongsian beliau, Prof. Dr. Selamah menjelaskan bahawa konsep Zon Pembangunan Ekonomi Ummah (ZPEU) direalisasikan melalui projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SSBBA). “Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan asnaf, malah mengubah mereka daripada penerima zakat kepada pembayar zakat, selaras dengan maqasid syariah,” katanya. Beliau turut menekankan kepentingan integrasi nilai syariah dalam perancangan ekonomi agar kesejahteraan masyarakat dapat dicapai secara holistik.

Buku ini menelusuri fasa awal pembentukan program ZPEU, strategi pengukuhan melalui teknologi pertanian moden dan pembangunan modal insan, serta kesan dan hala tuju program terhadap sosioekonomi asnaf. Fokus utamanya adalah pembangunan berasaskan maqasid syariah, penggunaan teknologi seperti sistem intensifikasi padi (SRI), dan pengurusan sawah berskala besar. Model ini dilihat sebagai contoh jihad ekonomi ummah yang boleh direplikasi di pelbagai peringkat masyarakat. Buku ini menegaskan bahawa zakat bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi alat strategik untuk pembangunan ekonomi mampan dan transformasi asnaf kepada muzakki (pembayar zakat).
Program ini selari dengan inisiatif #telaah yang digerakkan oleh PSB untuk memupuk budaya membaca, mengupas ilmu secara kritis, dan menghubungkan pembaca dengan karya ilmiah. Pemilihan buku ini amat tepat kerana ia bukan sekadar membicarakan teori ekonomi, tetapi menawarkan model praktikal pembangunan berasaskan zakat yang mampu mengubah kehidupan asnaf serta boleh direplikasi di pelbagai peringkat masyarakat.
Sebagai perpustakaan universiti, PSB bukan hanya pusat rujukan, tetapi juga platform wacana ilmu yang menghubungkan teori dengan realiti. “Program ini membuktikan bahawa perpustakaan adalah ruang strategik untuk menghubungkan ilmu dengan realiti semasa, sekali gus memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing,” ujar wakil PSB.
PSB akan terus komited menganjurkan program #telaah bagi memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan warga kampus.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail