BEDAH BUKU SIRI 18 PENGANJURAN PAMERAN MUZIUM : BUKU PANDUAN PRAKTIK

  PSB ONLINE: Bedah Buku Siri 18 telah dijalankan pada 29 Mei 2025 oleh Encik Suparman Sukri, Pustakawan dengan buku bertajuk “Penganjuran Pameran Muzium: Buku Panduan Praktik”. Penulis, Encik Jailani Rohani berkelulusan Ijazah Sastera dengan Pengkhususan Sains Politik, Universiti Singapura (NUS) dan berpengalaman selama 12 tahun sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Korporat kepada National Heritage Board (NHB), iaitu lembaga berkanun kerajaan dan badan penaung bagi Arkib Nasional Singapura, Muzium Nasional Singapura, Muzium Peradaban Asia, Muzium Filatelik dan Muzium Seni Singapura. Beliau juga pernah menawarkan khidmatnya sebagai perunding pengurusan di PADI Gallery & Design, sebuah syarikat khusus dalam bidang penganjuran pameran. Kandungan buku ini merupakan gabungan pengalaman beliau selama 15 tahun dengan satu muzium dan kemudiannya dengan sebuah badan penaung empat muzium utama Singapura.

Mengikut En. Suparman, buku ini menceritakan dengan mendalam mengenai penganjuran pameran muzium merangkumi 10 bab yang memperincikan tentang penganjuran pameran muzium seperti berikut:

Bab 1: Input Kurator

Membincangkan peranan kurator dalam muzium, termasuk penyelidikan, perolehan artifak, dan rekabentuk pameran. Kurator menggunakan pelbagai sumber untuk memastikan pameran berkualiti dan selamat. Mereka juga merancang projek pameran, menjalankan kajian, serta mengurus perjanjian seperti MOU. Jaringan profesional antara muzium turut ditekankan bagi memperkukuh fungsi kuratorial.

Bab 2: Penyelarasan Projek

Mengupas tentang penyelarasan projek dalam muzium atau galeri, terutama dalam merancang dan melaksanakan pameran dengan teratur dan berkesan. Struktur organisasi yang kukuh melalui Jawatankuasa penting untuk pengawasan projek. Penyusunan agenda jelas dan penglibatan aktif semua pihak, termasuk kurator, adalah kunci kejayaan. Kerjasama, komunikasi efektif, latihan kakitangan, infrastruktur mencukupi, dan kemudahan pengangkutan juga ditekankan. Penggunaan teknologi seperti rekod berkomputer dan muzium maya membantu mempermudah penyelarasan dan meningkatkan kecekapan.

Bab 3 : Bajet dan Kewangan

Menitikberatkan pengurusan kewangan muzium atau galeri melalui perancangan, pemantauan, dan pelaporan yang teliti. Dana diperoleh daripada kerajaan, penajaan, dan sumbangan persendirian. Pengurusan dana yang cekap dan telus penting untuk penggunaan sumber optimum, dengan pemantauan perbelanjaan bagi mengelakkan pembaziran. Sistem perbankan dan insurans melindungi aset muzium. Tadbir urus kewangan yang kukuh, audit berkala, dan laporan tepat waktu memastikan integriti pengurusan. Peranan penderma juga memperkukuh sokongan kewangan bagi kelangsungan muzium.

Bab 4 : Perhubungan Awam

Menumpukan kepada peranan kaji selidik dan maklum balas dalam memperkukuh komunikasi antara muzium dengan pengunjung dan penyokong. Pelbagai kaedah seperti soal selidik tradisional dan atas talian serta temu bual digunakan untuk mengumpul maklumat. Strategi kutipan dana, termasuk pengurusan kafe muzium, turut dibincangkan sebagai sumber kewangan tambahan. Penggunaan senarai mel membantu menyebarkan maklumat dan memupuk hubungan dengan penderma dan pengunjung setia. Peranan pereka dan pereka dalaman juga penting dalam menghasilkan reka bentuk pameran yang estetik dan mesra pengunjung.

Bab 5 : Penerbitan dan Media

Menyorot kepentingan penerbitan dan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan menarik bagi memperkukuh imej muzium atau galeri. Editor memastikan kandungan berfakta dan berintegriti, manakala proses penerbitan melibatkan pemilihan fon dan saiz tulisan yang sesuai untuk bahan cetakan yang kemas dan profesional. Fotografi berkualiti dan penulisan tersusun menjadikan kandungan lebih menarik. Buletin, jadual waktu mingguan, dan e-penerbitan berperanan sebagai saluran komunikasi yang konsisten dan moden.

Bab 6 : Pemasaran dan Promosi

Menitikberatkan strategi pemasaran dan promosi berkesan untuk menarik pengunjung dan meningkatkan keuntungan muzium atau galeri. Pelan promosi menggunakan pelbagai saluran seperti iklan cetak, media elektronik, dan pemasaran dalam talian. Aktiviti interaktif seperti forum dan bengkel mengeratkan hubungan dengan masyarakat. Penjenamaan yang kukuh membantu membina imej positif dan kesetiaan pengunjung. Sumber pendapatan termasuk jualan tiket, kedai muzium, dan lelongan seni menyokong kestabilan kewangan.

Bab 7 : Perlindungan Kebakaran dan Keselamatan

Menekankan kepentingan perlindungan kebakaran dan keselamatan dalam muzium atau galeri untuk melindungi pengunjung, kakitangan, dan aset. Ia meliputi program keselamatan, peralatan seperti alat pemadam api dan sistem pengesan kebakaran yang diselenggara, serta langkah pencegahan fizikal. Prosedur kecemasan jelas dan latihan berkala memastikan kesiapsiagaan semua pihak. Pemeriksaan dan sijil pihak bomba memastikan pematuhan piawaian keselamatan.

Bab 8 : Persiapan Pemasangan

Menumpukan kepada persiapan pemasangan pameran yang memerlukan perancangan dan penyelarasan teliti. Jawatankuasa kecil bertanggungjawab mengurus galeri, tender, kontrak, dan reka bentuk yang kreatif serta interaktif. Keselamatan, kemudahan untuk orang kurang upaya, pencahayaan, kapsyen, dan kebersihan diutamakan. Kemudahan seperti lokar dan meja pertanyaan juga disediakan. Pembersihan dan inventori dilakukan sebelum galeri dibuka.

Bab 9 : Upacara Pembukaan

Menekankan kepentingan  perancangan rapi bagi upacara pembukaan pameran, termasuk pemilihan tarikh sesuai dan strategi publisiti. Atur cara majlis, kehadiran tetamu kehormat, dan penyediaan jemputan serta kelengkapan teknikal diurus oleh jawatankuasa kecil. Persiapan lain seperti jamuan, pelan cuaca, dan katerer turut diberi perhatian. Aktiviti tambahan seperti ceramah dan persembahan meningkatkan nilai acara, manakala sesi post-mortem membantu menilai kejayaan majlis. Kejayaan bergantung pada perancangan menyeluruh dan pengurusan sistematik.

Bab 10: Pengurusan Pameran

Menyoroti kepentingan pengurusan pameran yang teratur sepanjang ia berlangsung bagi memastikan kelancaran, keselamatan, dan pengalaman bermakna kepada pengunjung. Ia merangkumi aspek seperti rondaan harian, penggunaan CCTV, kawalan bau dan perosak, serta penyampaian maklumat melalui docent, panduan audio, dan kapsyen. Perjumpaan berkala serta audit perkhidmatan dijalankan untuk mengekalkan kualiti operasi. Pameran juga melibatkan aktiviti sampingan seperti peraduan dan pameran bergerak, disokong oleh perkhidmatan bas ulang-alik dan promosi secara percuma. Penutup pameran pula diurus secara sistematik termasuk kerja pembukaan dan majlis penutupan.

Secara ringkasnya, buku ini memberi fokus kepada pengurusan pameran muzium secara menyeluruh, dari peringkat awal perancangan hingga ke penutupan pameran. Ia menekankan peranan penting kurator dalam menjalankan penyelidikan, merancang naratif pameran, serta memastikan artifak dipamerkan secara profesional dan selamat. Selain itu, aspek penyelarasan projek, pengurusan kewangan, keselamatan, dan kerja berpasukan antara pelbagai pihak turut diberi perhatian untuk menjamin keberkesanan dan kelancaran pelaksanaan sesebuah pameran muzium.

Melalui buku ini, diharapkan pembaca bukan sahaja dapat memahami proses penganjuran pameran secara menyeluruh dalam institusi seperti muzium dan galeri, tetapi juga dapat menghayati betapa pentingnya penyelarasan, pemasaran, dan keselamatan dalam memastikan setiap pameran berjalan lancar dan memberi impak yang bermakna kepada pengunjung.

Disediakan oleh :
Nurul Syafika Binti Che Zin
Pelajar Latihan Industri
Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah

Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail

News Archive
Skip to content